PENGERUSI Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Canselor Universiti Antarabangsa Unitar, Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak di majlis konvokesyen ke 23  Unitar di Putrajaya, Sabtu lalu.
PENGERUSI Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Canselor Universiti Antarabangsa Unitar, Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak di majlis konvokesyen ke 23 Unitar di Putrajaya, Sabtu lalu.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir Lim Hock San dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan di Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Antarabangsa Unitar.

Anugerah ini diberikan kepada Lim sebagai pengiktirafan atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui LBS sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, serta sumbangan beliau memperkasakan komuniti melalui pembabitan dengan badan bukan kerajaan (NGO), dan juga reputasi beliau sebagai salah seorang individu penting dalam jalinan hubungan dua hala Malaysia-China.

Selaku jurutera profesional dan profesor adjung di Universiti Antarabangsa Unitar, beliau menamatkan pengajiannya pada 1982 dengan Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam daripada University of Wales, Science & Technology.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan LBS, yang diasaskan oleh mendiang bapanya, Datuk Seri Lim Bock Seng, sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri pembangunan hartanah, beliau berpengalaman luas serta berjaya menobatkan syarikat sebagai syarikat pengurusan terbaik di Malaysia, suatu pengiktirafan oleh Deloitte untuk 2022-2023.

Di bawah kepimpinannya, LBS berjaya mencapai kejayaan yang luar biasa di samping berjaya membina lebih 40,000 unit rumah di seluruh Malaysia dan mencapai jualan melebihi RM2 bilion pada 2022, sekali gus mempamerkan prestasi kewangan yang kukuh serta penyampaian dividen konsisten kepada pemegang saham.

Dalam ucapan penerimaannya, beliau turut menzahirkan penghargaan atas penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran ini dan mendedikasikannya kepada mendiang bapanya yang memainkan peranan penting dalam mengemudi perjalanan syarikat.

Komitmen Lim bukan sahaja tertumpu kepada bidang perniagaan, bahkan beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, persatuan kaum Cina terbesar di Malaysia.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persekutuan Lim Malaysia dan jawatan penting yang lain dalam pelbagai persatuan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 12:27 PM