LIM dan isteri Puan Sri Karen Wang bersama anugerah diterima.
LIM dan isteri Puan Sri Karen Wang bersama anugerah diterima.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) terpilih sebagai salah satu syarikat 10 Pemaju Terbaik di Anugerah Pemaju Perumahan Malaysia 2022 (MDA 2022) (kategori bawah RM1 bilion).

Anugerah Pemaju Perumahan Malaysia adalah kerjasama di antara Kumpulan Media Star dan FIABCI - Malaysia.

Dengan matlamat untuk menjadi kayu pengukur kecemerlangan bagi pemaju hartanah, anugerah ini juga merupakan satu pendedahan dan peningkatan bagi syarikat-syarikat di peringkat antarabangsa di samping terus mengukuhkan industri hartanah Malaysia di arena global.

Pencapaian prestasi yang mengagumkan di samping sambutan pembeli serta landskap hartanah luar biasa yang dipamerkan menerusi projek terbaru LBS, iaitu perbandaran LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth serta Residensi Bintang Bukit Jalil (RBBJ) merupakan antara faktor LBS dinobatkan dengan anugerah berkenaan.

Pemenang dipilih oleh panel hakim berkaliber dan disahkan oleh juruaudit rasmi berdasarkan tahap prestasi korporat dan piawaian tadbir urus yang tinggi.

Mengulas mengenai anugerah itu, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS amat berbangga dengan pengiktirafan sebagai antara 10 Pemaju Hartanah Terbaik yang diberikan di MDA 2022.

"Ini adalah kegembiraan berganda kerana baru-baru ini kami juga menerima Anugerah Malaysia's Best Managed Companies 2022 oleh Deloitte Malaysia.

"Kedua-dua pengiktirafan ini adalah bukti bahawa LBS mencapai tahap yang lebih tinggi dan menetapkan penanda aras baharu, baik dari segi pengurusan organisasi mahupun projek perumahan dan hartanah kami," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, trofi itu juga adalah bukti hasil kerja keras dan komitmen yang tidak berbelah bagi kakitangan LBS dan memberi motivasi untuk Kumpulan terus memberikan yang terbaik di masa hadapan.

"Anugerah ini juga menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa bagi pemaju hartanah dan memaparkan komitmen kami terhadap urus tadbir korporat, pembangunan rumah mampu milik serta inisiatif ESG yang akan terus diberi tumpuan di samping membawa LBS ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:00 AM