BILANGAN syarikat baru didaftar, import benar semi konduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia adalah antara komponen yang menyebabkan penurunan IP.
BILANGAN syarikat baru didaftar, import benar semi konduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia adalah antara komponen yang menyebabkan penurunan IP.

PROSPEK ekonomi Malaysia dalam jangka pendek akan terus menghadapi cabaran, sejajar dengan ramalan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada 2023.

Ia turut digambarkan oleh kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (IP) pada Januari 2023 yang kekal mencatatkan arah aliran di bawah trend 100 mata, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan yang diterbitkan, semalam.

IP adalah alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IP Malaysia menyusut 1.5 peratus kepada 108.5 mata pada Januari 2023 berbanding 110.2 mata pada Januari 2022.

Katanya, bilangan syarikat baru didaftar, import benar semi konduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia adalah antara komponen yang menyebabkan penurunan IP.

"Pada masa sama, IP bulanan juga turut mencatatkan penyusutan sebanyak 1.5 peratus pada Januari 2023 berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

"Semua komponen menunjukkan penurunan kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang meningkat 0.3 peratus," katanya menerusi satu kenyataan.

Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun kepada 119.5 mata pada Januari 2023 berbanding 114.3 mata pada Januari 2022.

Mohd Uzir berkata, kenaikan ini disumbangkan terutama oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit.

"Walau bagaimanapun, perubahan bulanan IS mencatatkan penurunan 0.7 peratus yang disebabkan gaji & upah benar, pembuatan (-0.3 peratus) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.3 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 6:05 AM