Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menandatangani memorandum kerjasama yang bertujuan memperkasakan Inisiatif Pembangunan Modal Insan Industri Halal di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama antara HDC dan Jais merangkumi tiga inisiatif iaitu penubuhan Pusat Penilaian Amali (PPA) bagi bidang Sembelihan Unggas Halal pertama di Selangor dan Malaysia bagi penyembelih untuk menilai tahap keterampilan seterusnya mendapat penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

"Pusat ini bertujuan memberi peluang kepada penyembelih yang dianggap sebagai barisan hadapan dalam industri makanan halal berasaskan daging untuk mendapat SKM bagi mengiktiraf kemahiran dan pengalaman dimiliki.

"Inisiatif kedua adalah penganugerahan SKM kepada pegawai Jais melalui kaedah PPT yang bertujuan memberi pengiktirafan terhadap kemahiran dimiliki melalui pengalaman bagi pegawai Jais terbabit dalam pengurusan halal seperti pensijilan, audit, pemantauan sebagai nilai tambah dalam pembangunan kerjaya," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif ketiga membabitkan pelantikan pegawai Jais sebagai Pegawai Penilai PPT untuk memudah cara proses penilaian bakat berkemahiran bidang halal untuk mendapat SKM melalui kaedah portfolio atau amali.

"Melalui kerjasama HDC dan Jais diharap lebih banyak Pusat Penilaian Amali dalam industri halal, khususnya bidang sembelihan dapat diwujudkan di negeri lain dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri mengiktiraf bakat berkemahiran dalam industri halal seterusnya menaik taraf kerjaya berkenaan," katanya.

HDC dilantik sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) sejak 2016 oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Peranan HDC sebagai ILB adalah memastikan sumber tenaga mahir berasaskan kemahiran mencukupi dalam industri, menjadi penghubung dalam memberi maklum balas secara terus kepada JPK berkaitan keperluan bidang halal, mencadangkan mekanisma terbaik dalam memartabatkan TVET serta mempromosikan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) kepada industri halal untuk melahirkan tenaga kerja dengan kepakaran khusus diiktiraf oleh industri.

"Selain menyediakan latihan profesional halal, HDC menawarkan kepakaran dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta Halal Integrated Platform sebagai rangkaian hubungan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan halal global," katanya.

Memorandum Kerjasama ditandatangani Ketua Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias dan Ketua Penolong Pengarah JAIS, Nazihan Idris disaksikan Hairol Ariffein dan Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 7:00 AM