MENARA Bank Islam
MENARA Bank Islam
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan Dana GO Halal dengan saiz portfolio berjumlah RM100 juta.

Dana GO Halal itu memberi manfaat kemudahan pembiayaan baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sekali gus mendorong lebih ramai PKS menyertai dan memperluas pasaran industri halal.

Menteri Kanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemudahan ini akan membantu PKS dalam format lebih teratur dan berstruktur dengan menumpukan kepada peningkatan kapasiti.

"Melalui pengenalan dana ini, kira-kira 300 PKS tempatan akan mendapat manfaat daripada Program Dana GO Halal, dengan tumpuan khusus untuk mendorong lebih banyak penyertaan PKS yang dimiliki Bumiputera dalam industri halal.

"Ia sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bertujuan supaya kumpulan B40 dan M40 dapat memberikan lebih banyak sumbangan terhadap usaha transformasi dan pembangunan semula ekonomi negara.

"Institusi kewangan Islam yang lain juga diharap dapat bekerjasama dengan HDC dalam menawarkan program seumpama ini," katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan HDC serta pelancaran Dana Go Halal dan secara maya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

Selain memberikan tawaran pakej komprehensif untuk ahli HDC, termasuk latihan pensijilan halal dan penggabungan produk Bank Islam kepada PKS yang layak, bidang utama kerjasama antara Bank Islam dan HDC ini juga membabitkan sinergi integrasi antara aplikasi mudah alih SMEXpert, platform Bank Islam khusus untuk membangunkan ekosistem PKS dan Platform Ekosistem Halal (HIP) oleh HDC.

Hairol Ariffein berkata, melalui perkhidmatan bersepadu ini, PKS tempatan mempunyai platform lebih luas yang dapat digunakan untuk membantu mereka kekal berdaya saing, walaupun terdapat pelbagai cabaran dihadapi perniagaan tempatan.

"Ketika ini penyertaan ahli HIP adalah seramai 2,200 peserta dan syarikat ini layak untuk memohon dana terbabit.

"Kemudahan ini diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada PKS tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan PKP penuh yang sedang dilaksanakan.

"Ini juga adalah kaedah sempurna bagi perniagaan tempatan memulakan pendekatan digital dan memanfaatkan pasaran eksport halal yang besar, serta menyertai inisiatif transformasi digital halal negara," katanya.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, Bank Islam kini memulakan pelan strategi perniagaan lima tahunnya bagi menangani cabaran yang belum pernah terjadi akibat Covid-19.

Menurutnya, Bank Islam berhasrat menjadi peneraju dalam menawarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Shariah (Shariah-ESG) melalui penyelesaian pembiayaan lengkapnya dengan meneruskan usaha dalam saluran perniagaan melalui lima pemacu perniagaan yang turut merangkumi Perusahaan.

"Dengan menawarkan penyelesaian kewangan patuh Syariah komprehensif ke dalam pasaran, Bank Islam berusaha untuk menjadi perbankan Islam pilihan dalam industri halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:21 PM