Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein

Kuala Lumpur: Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bakal membincangkan mengenai peranan dan sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.

WHBC 2021 edisi ke-13 yang akan membuka tirainya pada 9 September ini pertama kali dianjurkan secara maya dan bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kini menjadi satu perkara penting dalam kalendar halal global.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 memberi kesan serta membantutkan usaha pelbagai industri dalam persaingan mencapai matlamat pasaran halal global menjelang 2030.

"Konteks halal di sini bukan sahaja merujuk kepada makanan dan minuman mengikut landasan Islam, tetapi lebih luas merangkumi kepelbagaian produk dan perkhidmatan dalam bidang kesihatan, perubatan, kosmetik dan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hairol menjelaskan, industri halal di Malaysia makin berkembang untuk menjadi salah satu peneraju pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, sektor makanan dan minuman halal, termasuk sektor bahan-bahan halal menyumbang lebih 85 peratus daripada eksport halal keseluruhan Malaysia.

Sementara itu, kosmetik halal, produk penjagaan diri, industri kimia dan farmaseutikal halal pula menyumbang 13.1 peratus kepada eksport halal keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2021.

"Industri halal kini menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peranan dan sumbangan industri ini dalam melindungi kehidupan dan kesihatan setiap rakyat menjadi perkara yang sangat penting hari ini," jelasnya.

Menurutnya, kira-kira 3,000 delegasi dari 35 negara dengan wakil daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, pakar industri, pembuat polisi, ahli akademik dan juga orang awam akan menyertai acara tahunan itu.

Delegasi terbabit antaranya wakil dari Australia, Kanada, Senegal, Afrika Selatan, Taiwan dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 11:49 PM