Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengorak kerjasama dengan utiliti tenaga milik kerajaan China untuk merevolusikan Grid Tenaga Asean (APG) melalui teknologi terkini Arus Terus Voltan Tinggi (HVDC).

Menurut kenyataan pada Khamis, TNB menjelaskan langkah strategik itu mencerminkan komitmen TNB sebagai pemimpin tenaga serantau dalam mengembangkan solusi tenaga lestari.

TNB memaklumkan bahawa perkara itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din ketika taklimat kepada para penganalisis baru-baru ini.

Beliau turut menekankan kepentingan teknologi HVDC dalam kalangan negara Asean demi kelicinan perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi tenaga boleh baharu (TBB).

Baharin berkata TNB berada di barisan hadapan dalam memimpin inisiatif tenaga lestari di rantau Asean dan usaha meneroka teknologi HVDC menjadi bukti teguh komitmen TNB terhadap inovasi serta kelestarian, jelas kenyataan itu.

"Kesalinghubungan menggunakan teknologi HVDC akan memberikan manfaat kepada perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi TBB dalam kalangan kejiranan negara Asean. Maka, TNB sedang dalam pertimbangan untuk bekerjasama dengan utiliti tenaga milik kerajaan China.

"Potensi kerjasama dalam projek HVDC ini dirangka secara strategik untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China dalam pembangunan projek HVDC yang kompleks di republik itu dan global," katanya.

Baharin menegaskan ia menjadi penanda aras pertumbuhan serta bukti dedikasi TNB dalam meluaskan sempadan kelestarian dan inovasi teknologi, menurut kenyataan itu.

TNB menjelaskan sebagai pendukung utama APG, pihaknya memperakui peranan penting kesalinghubungan serantau dalam langkah komprehensifnya melaksanakan Peralihan Tenaga (ET) yang bertanggungjawab.

Justeru, TNB telah menandatangani lima memorandum persefahaman dengan negara-negara jiran, menumpukan kepada aspek kesalinghubungan dan penjanaan TBB, tambah syarikat itu.

Selain itu, Baharin menegaskan bahawa peningkatan permintaan tenaga dari pusat data, bersama dengan inisiatif Grid Masa Depan (GoTF), menjadi pendorong utama revolusi APG.

Malaysia telah menjadi fokus utama pelaburan pusat data di rantau ini, yang diperkukuh oleh dasar TBB yang semakin menguntungkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menurut TNB.

Mengenai pencapaian terkini TNB, beliau juga mengumumkan kejayaan menyempurnakan enam projek pusat data, dengan permintaan berjumlah 292 megawatt (MW), termasuk dua projek siap lebih awal daripada jadual, tambah kenyataan itu.

TNB menjelaskan bahawa beliau merujuk kepesatan permintaan tenaga elektrik dengan potensi mencapai lebih 7,000MW menjelang 2035, sekali gus mendasari keperluan TNB melabur dalam pembangunan GoTF.

Baharin menekankan pentingnya grid yang fleksibel dan mampu menerima peningkatan pemasangan solar serta memudahkan penyambungan segera daripada sistem jaringan solar serta sumber tenaga lain dalam memenuhi peningkatan berterusan permintaan.

"Fokus kami adalah melaksanakan projek NETR, memperteguh ET dan menyediakan solusi tenaga hijau, berdaya harap dan mampu dinikmati oleh pelanggan di samping memastikan kestabilan bekalan tenaga elektrik negara," katanya.

TNB menegaskan bahawa wawasan pihaknya tidak terbatas pada solusi tenaga lestari malah juga mencakupi komitmen kepada masyarakat, pihak-pihak berkepentingan dan masa depan lestari untuk generasi akan datang.

HVDC menggunakan arus terus (DC) untuk penghantaran tenaga elektrik, berbeza dengan sistem penghantaran arus biasa (AC), menurut TNB.

Saluran HVDC biasanya digunakan untuk penghantaran tenaga jarak jauh, kerana ia menggunakan kuantiti konduktor dan menanggung kerugian tenaga lebih rendah berbanding saluran AC yang setara.

China kini memiliki pautan HVDC terpanjang di dunia, merentasi 1,100 kilovolt (kV) dengan jarak 3,300 kilometer dengan kapasiti kuasa sebanyak 12 gigawatt (GW).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:21 PM