TENAGA Nasional Bhd (TNB) sedang memuktamadkan perkongsian serta menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan zon tenaga boleh baharu (TBB) untuk solar berskala besar (LSS) dan hibrid solar fotovoltik (PV) terapung dengan kapasiti berjumlah 2,500 MW.
TENAGA Nasional Bhd (TNB) sedang memuktamadkan perkongsian serta menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan zon tenaga boleh baharu (TBB) untuk solar berskala besar (LSS) dan hibrid solar fotovoltik (PV) terapung dengan kapasiti berjumlah 2,500 MW.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) sedang memuktamadkan perkongsian serta menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan zon tenaga boleh baharu (TBB) untuk solar berskala besar (LSS) dan hibrid solar fotovoltik (PV) terapung dengan kapasiti berjumlah 2,500 MW.

Menurut kenyataan pada Rabu, TNB menjelaskan pihaknya turut meneroka projek pembakaran bersama yang melibatkan hidrogen dan ammonia, menunjukkan komitmen yang jelas terhadap inovasi dan kelestarian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Baharin Din berkata TNB sedang mempercepat inisiatif penting itu mengikut Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga (ETP) kami, merangkumi keseluruhan rantaian pembekalan elektrik.

"Inisiatif ini langkah utama dalam perjalanan kami memenuhi komitmen dan aspirasi kelestarian sekali gus mengukuhkan landasan pertumbuhan perniagaan mampan," katanya.

TNB memaklumkan bahawa pihaknya sedang giat meneguhkan pelan perniagaan dalam tempoh dua tahun ini bagi pengeluaran hidrogen mencakupi penggunaan domestik dan eksport.

Hidrogen hijau memainkan peranan utama dalam inisiatif pembakaran bersama TNB di bawah seliaan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco).

Menurut TNB. loji jana kuasa gas masa depan dilengkapi dengan teknologi hidrogen dijadualkan beroperasi mulai 2030, menerajui pembekalan tenaga elektrik dengan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) ke-24 di China, baru-baru ini, Baharin menjelaskan bahawa TNB terus mengukuhkan janjinya untuk meneraju peralihan tenaga di Malaysia dengan giat meneroka projek transformasi TBB.

Beliau menegaskan betapa pentingnya kerjasama antara ASEAN dan China dalam usaha berterusan bagi mencapai aspirasi sifar bersih.

"Kedua-duanya bukan sekadar mendakap aspirasi sifar bersih malah juga mengemudi pacuan peralihan tenaga global, mengorak langkah masa depan rendah karbon serta mempercepat pertumbuhan ketara ekonomi," katanya dalam ucaptama itu.

Beliau berkata TNB komited dalam menyokong Malaysia sebagai pusat data serantau dengan memperkenalkan Laluan Hijau – pemboleh ubah diwujudkan khusus bagi memastikan pembekalan elektrik adalah selaras keperluan jangka masa pembangunan pusat data.

Laluan Hijau adalah inisiatif eksklusif yang direka untuk memenuhi keperluan pasaran pusat data dengan mempercepat penyelesaian bekalan elektrik melalui pengurangan masa pelaksanaan dari 36 hingga 48 bulan kepada hanya 12 bulan.

"TNB turut menyediakan Pusat Sehenti (OSC) untuk pelabur pusat data dan menjangkakan potensi permintaannya meningkat melebihi 4,300 MW pada 2035," katanya.

Baharin berkata merujuk kembali kerjasama ASEAN-China, komitmen TNB adalah untuk memperkasa Projek Grid Tenaga ASEAN (APG) dan mengharapkan sokongan China dalam projek TBB dengan mengunjurkan pertumbuhan lebih pesat, penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi di seluruh rantau.

"Tidak dapat disangkal bahawa ASEAN dan China adalah penggerak utama dalam sektor tenaga di arena global. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga.

"Potensi besar untuk pertumbuhan dan kerjasama di antara kedua-dua rantau ini merupakan kunci mencapai objektif bersama dalam kemaraan menuju rendah karbon dan kelestarian masa depan," katanya.

Sidang dwitahunan CEPSI memainkan peranan penting sebagai perhimpunan utama Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Edisi tahun ini menarik penyertaan lebih 2,500 wakil dari negara-negara anggota, menandakan peranan pentingnya sebagai medium utama bagi kerjasama industri dan pertukaran pengetahuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:06 AM