BAHARIN (depan kanan) menyerahkan LOI cadangan semakan semula MoU di antara TNB dan PLN kepada Evy  sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) di Jakarta.
BAHARIN (depan kanan) menyerahkan LOI cadangan semakan semula MoU di antara TNB dan PLN kepada Evy sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) di Jakarta.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menyatakan minat meneroka dan mengambil bahagian dalam pembangunan serta operasi penyelesaian tenaga di Ibu Kota Nusantara (IKN) Nusantara, Indonesia merentas pelbagai teknologi seperti gas, solar, angin, hidro dan penyimpanan bateri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, melalui penyerahan Surat Hasrat (LOI) kepada Pengerusi Otorita IKN, pihaknya turut menyatakan minat untuk meneroka sebarang peluang dalam perniagaan kesalinghubungan grid melalui kerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) untuk membangunkan infrastruktur penghantaran voltan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai di Global City for All, IKN Nusantara.

"LOI itu akan membantu memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara serta mempercepat pembangunan tenaga bersih di kedua-dua negara.

"Ada banyak persamaan antara kedua-dua syarikat, serta TNB dan PLN akan mendapat manfaat bersama daripada perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga," katanya dalam kenyataan.

Baharin turut menyerahkan satu lagi LOI kepada Pengarah Perancangan Sistem dan Transmisi PLN, Evy Haryadi untuk mengkaji semula MoU sebelum ini bagi meneruskan kerjasama peralihan tenaga yang bertanggungjawab, sejajar dengan komitmen kelestarian kedua-dua syarikat tenaga.

Mengenai LOI itu, beliau berkata TNB mencadangkan agar MoU disemak bagi membolehkan kedua-dua utiliti menghidupkan kembali kajian penerokaan pembangunan kemudahan kesalinghubungan voltan tinggi antara Sumatera, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

"Rangkaian antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada Grid Tenaga Asean.

"Apabila projek ini siap kelak, negara-negara di rantau Asean akan dapat berkongsi sumber penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), mengambil bahagian dalam perdagangan tenaga pelbagai hala dan menyediakan keselamatan tenaga untuk rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:00 AM