Tan Sri Lim Hock San (belakang dua dari kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (belakang
Tan Sri Lim Hock San (belakang dua dari kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (belakang
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Anak syarikat LBS Bina Group Bhd, Casa Inspirasi Sdn Bhd, membeli dua bidang tanah di Genting Highlands, Bentong untuk projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM9 bilion.

Ia telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang untuk memperoleh tanah pajakan seluas 125.5 hektar pada harga RM97.85 juta.

LBS berkata, ia merancang untuk membina pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar (townhouse), banglo, unit komersial; aktiviti pelancongan, kemudahan sekolah dan hospital di lot tanah tersebut.

"Cadangan pembelian tanah di Genting Highlands itu menandakan usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan aktiviti perniagaannya.

"Dengan lokasinya yang strategik dan kawasan tumpuan pelancong dengan trafik pengunjung yang tinggi, pembangunan yang dicadangkan itu dijangka menerima permintaan yang baik dan mempunyai potensi pertumbuhan," katanya.

Pembangunan akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

Kawasan berkenaan terletak strategik di kawasan tarikan pelancongan terkenal seperti Genting Highlands, Genting Premium Outlet, Awana Genting Golf Course dan Gohtong Jaya.

Antara produk LBS lain yang terletak di Genting Highlands adalah projek pangsapuri servis Midhills yang dilancarkan pada tahun 2014.

Pangsapuri itu dilengkapi kemudahan fasiliti bersesuaian dengan gaya hidup alaf baru, berlatar belakangkan kehijauan alam semula jadi Genting Highlands.

Projek ini meliputi tiga blok bangunan dengan 610 unit telah terjual sepenuhnya.

Di samping projek pembangunan perumahan di Genting, LBS turut melancarkan sebuah hotel iaitu Hotel SCAPES dengan kemudahan 10 tingkat terdiri daripada 176 bilik, dewan serbaguna, gim, kolam renang, restoran, jakuzi dan kemudahan-kemudahan lain.

Melalui pelancarannya pada bulan Februari tahun 2021, hotel SCAPES telah menerima permintaan luar biasa daripada pelancong di dalam dan luar negara, kerana lokasi dan tarikan flora dan fauna yang ada di sekelilingnya.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, latihan korporat ini memberikan Kumpulan peluang yang sangat baik untuk meluaskan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan sekaligus mengukuhkan segmen pembangunan kediaman.

"Projek pembangunan di Genting Highlands menandakan usaha kami untuk terus mencapai wawasan syarikat dan mengembangkan aktiviti perniagaan kami.

"Lokasi yang strategik, dan tarikan pelancong dengan trafik pengunjung yang tinggi, kami optimis dengan potensi masa hadapan pembangunan Genting Highlands kami.

"Kami akan terus berusaha untuk mencari peluang pembangunan baru dan bersiap sedia untuk merebut setiap peluang yang tersedia jika ada yang bersesuaian.

"Kami percaya tanah ini terletak di lokasi yang strategik dan mampu menjamin pembangunan yang mampan sekaligus menawarkan kemudahan kepada komuniti setempat," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya akan terus berpegang teguh kepada tiga tunggak utama LBS iaitu "Mampu milik" , "Kesalinghubungan" dan "Komuniti" dalam setiap perkara yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 3:21 PM