LIM berpendapat inisiatif disediakan beri kemudahan kepada rakyat menaik taraf rumah dan memiliki hartanah.
LIM berpendapat inisiatif disediakan beri kemudahan kepada rakyat menaik taraf rumah dan memiliki hartanah.

LBS Bina Group Berhad (LBS) berpandangan pemansuhan cukai keuntungan ke atas hartanah (RPGT) yang dijual selepas tempoh enam tahun dari tarikh diperoleh sebagai langkah penting untuk merangsang pasaran hartanah pemilikan rumah kedua di samping menggalakkan pelaburan jangka panjang.

  Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, inisiatif itu juga memberi kemudahan bagi rakyat untuk menaik taraf rumah dan memiliki hartanah.

  Menurutnya, usaha memberi tumpuan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah menerusi Bajet 2022 dalam menyediakan RM2 bilion jaminan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap juga harus dipuji.

  "Skim ini memberi kemudahan kepada pekerja bergaji harian, pemilik perniagaan berskala kecil serta petani ke arah mendapatkan pinjaman perumahan dan memiliki rumah sendiri.

  "Ia seiring matlamat LBS sebagai pemaju perumahan mampu milik terkemuka yang sentiasa berusaha memenuhi permintaan bagi pasaran terbabit," katanya.

  Menurutnya, lanjutan pelepasan cukai pendapatan peribadi sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga tahun taksiran 2022 langkah bermanfaat bagi menggalakkan pelancongan negara.

  Hock San berkata, ia sejajar dengan langkah LBS yang membuka semula pintu kepada pelancong di Hotel SCAPES miliknya di Genting Highlands.

  Beliau berkata, pembukaan semula sektor pelancongan itu mampu memberi kesan positif berganda untuk ekonomi negara.

  "Inisiatif di bawah Bajet 2022 kelihatan seimbang dengan tujuan membantu perniagaan dan rakyat ke arah pemulihan ekonomi pascapandemik.

  "Kerajaan juga tidak memperkenalkan sebarang cukai tambahan yang membebankan keluarga dan petanda baik bagi LBS kerana ia bermakna lebih banyak peluang dan dana dapat disalurkan ke arah sektor pembangunan hartanah.

  "Secara keseluruhannya, kami memuji usaha kerajaan dalam mencadangkan bajet yang kukuh dan proaktif seiring dengan usaha kami ke arah memulihkan pasaran hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 7:15 AM