Bentong: Genting View Resort (GVR) milik Sime Darby Properties melabur RM7.6 juta bagi penjenamaan semula hotel tiga bintang itu.

Hotel berusia 25 tahun itu dibangunkan di tanah berkeluasan 64.7 hektar di Kilometer 10, Jalan Genting Highland.

Ia kini berwajah baru selepas fasa pertama projek menaik taraf 40 bilik dengan kos RM2.6 juta, selesai dalam tempoh enam bulan dimulakan pada Julai 2013.

Pengurus Besar GVR Zulbahrin Ahmad berkata, hotel berkonsepkan moden kontemporari itu membabitkan usaha menaik taraf keseluruhan bilik dan bilik airnya diperbaharui dan terbukti menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Hotel ini mempunyai 40 bilik hotel dan 45 unit pangsapuri satu bilik hingga tiga bilik.

“Peringkat kedua penjenamaan semula hotel menelan kos RM5 juta membabitkan 45 unit pangsapuri serta restoran yang dijangka dimulakan pada pertengahan tahun depan,” katanya dalam program bersama Tourism Malaysia Pahang, di sini baru-baru ini.

Zulbahrin berkata, selain penginapan, hotel itu turut menyediakan aktiviti luaran termasuk merentas hutan, ‘ninja crossing’ dan ‘flying fox’ serta kemudahan gelanggang tenis, futsal dan rumah kelab yang turut dilengkapi sauna dan gimnasium.

Beliau turut menyasarkan pertambahan bilangan pelanggan hotel sebanyak 30 peratus daripada purata 40,000 hingga 50,000 orang setahun sebaik selesai projek naik taraf berkenaan.

“Hotel ini disifatkan ada kelasnya tersendiri kerana menjadi pilihan utama badan korporat, agensi serta jabatan kerajaan untuk mengadakan kursus serta program bina semangat berpasukan berikutan kemudahan aktiviti luar serta jurulatih berpengalaman yang disediakan.

“Hampir 80 peratus pengunjung adalah warga tempatan iaitu individu, badan korporat, agensi dan jabatan kerajaan yang memilih hotel ini kerana keindahan alam semula jadi di kawasan sekitarnya,” katanya.

Sehubungan itu, pihak hotel kini berusaha untuk terus mempergiat promosi dalam talian bagi menarik lebih ramai pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:06 AM