Orang ramai melihat kawasan perumahan yang akan didirikan sekitar Cyberjaya di galeri pameran rumah LBS Kita@Cybersouth. - FOTO NSTP
Orang ramai melihat kawasan perumahan yang akan didirikan sekitar Cyberjaya di galeri pameran rumah LBS Kita@Cybersouth. - FOTO NSTP
BERNAMA

Sepang: LBS Bina Group Bhd (LBS) akan melancarkan 12 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 2.09 bilion pada 2023.

Pengarah Eksekutifnya Tan Sri Lim Hock San berkata ia terdiri daripada 4,021 unit kumulatif di Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak.

"Saya telah menetapkan sasaran GDV RM2.09 bilion pada tahun ini dan kami berharap untuk mencapai sasaran ini atau lebih tinggi.

"Pada tahun lepas, 90 peratus daripada jualan kami disumbangkan di Lembah Klang. Saya masih menjangka Lembah Klang akan menjadi penyumbang utama jualan pada tahun ini," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.

Sehubungan itu, beliau berkata LBS bercadang untuk melancarkan 2,118 unit dengan GDV sebanyak RM1.1 bilion pada 2023 di Lembah Klang.

LBS mengakhiri 2022 dengan meraih jualan sebanyak RM2.0 bilion yang melepasi 25 peratus angka sasaran 2022 iaitu RM1.6 bilion.

Menurut Lim, pada masa hadapan LBS meramalkan ketidaktentuan ekonomi dan pasaran akan terus berlaku tahun ini dengan pemaju hartanah berdepan cabaran seperti kekurangan buruh, peningkatan kadar faedah serta kenaikan kos bahan mentah.

"Bagaimanapun, dengan menguasai pembangunan hartanah selama lebih tiga dekad, kami sentiasa bersedia untuk menerima sebarang perubahan yang berlaku.

"Sehubungan itu, kami telah menjalankan perancangan dan perbincangan yang strategik untuk memastikan tahun 2023 ditempuhi dengan optimis serta dalam kedudukan stabil berikutan kami berhasrat untuk mengekalkan prestasi," katanya.

Mengenai projek yang akan dilancarkan di Lembah Klang, Lim berkata untuk pembangunan perbandaran utama LBS iaitu KITA @ Cybersouth, kumpulan itu merancang pelancaran antaranya rumah bersambung setingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari yang melibatkan 817 unit dengan GDV RM418 juta.

Sementara itu, syarikat itu dalam kenyataan berkata, ia turut berhasrat melancarkan 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D'Island Residence di Puchong dengan GDV sebanyak RM139 juta dan Blok B di LBS Prestige Residence, Seri Kembangan yang terdiri daripada 725 unit dengan GDV RM313 juta.

Projek baharu di Pahang pula termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands yang merangkumi 642 unit dengan jumlah GDV RM482 juta.

Di Perak, LBS bercadang melancarkan fasa seterusnya di Taman Kinding Flora, Chemor yang terdiri daripada 94 unit rumah teres setingkat dengan GDV RM27 juta serta 90 unit rumah rangkaian kluster setingkat dengan GDV sebanyak RM22 juta.

LBS turut mengorak langkah di Johor menerusi projek pembangunan termasuk pangsapuri perkhidmatan Zenit Molek (988 unit dengan jumlah GDV RM436 juta) di Taman Molek, rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden (63 unit dengan jumlah GDV RM40 juta) dan rumah bersambung setingkat Emerald Garden (26 unit dengan jumlah GDV RM11 juta) di Bandar Putera Indah, Batu Pahat.

LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.7 bilion.

Sehingga 31 Dis 2022, simpanan tanah masa depan LBS berjumlah kira-kira 2,972 ekar yang akan memastikan kumpulan itu kekal bersaing di pasaran hartanah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Di samping itu, LBS juga mempunyai jualan belum dibayar penuh sekitar RM2.46 bilion yang dijangka menyediakan kejelasan pendapatan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," menurut syarikat.

Ia turut berhasrat untuk memberikan ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividennya iaitu membayar 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:11 PM