BERNAMA

Georgetown: Bermula hanya sebagai syarikat e-dompet yang menyediakan kaedah alternatif untuk membuat pembayaran digital pada 2017, Boost kini berkembang menjadi peserta teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau yang memenuhi keperluan segmen yang tidak dan kurang menerima perkhidmatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, sejak memulakan perjalanan lima tahun lalu sebagai e-dompet merintis pembayaran menerusi kod QR dan menggalakkan rakyat Malaysia menerima penggunaan tanpa tunai, Boost mengembangkan perniagaan teras.

Beliau berkata, pihaknya mengembangkan perniagaan teras Boost merangkumi pembiayaan mikro, insurans mikro, perkhidmatan kandungan rentas sempadan dan penyelesaian peniaga yang memudahkan proses pendigitalan perniagaan.

"Kami mengembangkan perniagaan ini secara berasingan sejak empat tahun lepas dan kami menyatukannya di bawah satu payung kira-kira satu setengah tahun lalu.

"Kini, Boost peserta fintech spektrum penuh di Asia Tenggara dengan lima entiti berbeza iaitu Boost Life, Boost Biz, Boost Credit, Boost Connect dan Boost Indonesia, menjadikan kami antara syarikat yang menawarkan penyelesaian untuk pembayaran pengguna, perkhidmatan peniaga, pinjaman untuk perniagaan kecil dan kami juga mempunyai perkhidmatan pengiriman wang untuk perusahaan," katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 8:09 AM