SHEYANTHA  (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz, Eric Chong menunjukkan aplikasi Boost  yang berusaha memperkasa kewangan digital untuk PKS selain perkhidmatan pembayaran tanpa tunai dan pembiayaan mikro.
SHEYANTHA (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz, Eric Chong menunjukkan aplikasi Boost yang berusaha memperkasa kewangan digital untuk PKS selain perkhidmatan pembayaran tanpa tunai dan pembiayaan mikro.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Aplikasi gaya hidup dan perkhidmatan kewangan digital, Boost menyasarkan untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan kukuhnya tahun ini sama seperti yang direkodkan tahun lalu.

Pada tahun lalu, ia mencatatkan peningkatan nilai urus niaga kasar (GTV) 25 peratus, mencecah RM5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, walaupun berdepan pandemik yang mencabar, tahun lalu Boost berjaya mencapai hasil yang meningkat dua kali ganda.

Katanya, pada masa ini platform pengguna Boost Life merekodkan lebih 10 juta pengguna di seluruh negara.

"Boost Biz mengembangkan pusat hubungan pedagangnya kepada hampir 500,000 di seluruh negara dan Boost Credit sudah menyalurkan kira-kira RM1.6 bilion pembiayaan di Malaysia dan Indonesia.

"Segmen pinjaman kami berkembang 13 kali ganda di Malaysia dan 55 kali ganda di Indonesia sejak Boost Credit ditubuhkan pada 2020 dan sehingga 2021, Boost Credit berjaya mengekalkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pada purata 4.0 peratus di Malaysia dan di bawah 1.0 peratus di Indonesia.

"Didorong oleh misi kami untuk melayani pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan dalam ekonomi digital, di pasaran Malaysia, Boost menjadi satu-satunya pemain fintech yang mengendalikan perniagaan pembayaran, pedagang dan pinjaman secara berskala.

"Dengan lesen Bank Digital baru-baru ini diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), ia secara tidak langsung memenuhi cita-cita Boost untuk menjadi penjejak teknologi fintech spektrum penuh untuk terus memenuhi keperluan segmen yang tidak dicapai oleh bank dengan menawarkan rangkuman kewangan lebih besar," katanya pada temubual eksklusif bersama Harian Metro dan Berita Harian secara maya di sini, baru-baru ini.

Sheyantha berkata, di Malaysia, Boost Credit juga sudah mengeluarkan secara purata RM3.7 juta pinjaman setiap bulan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan sejak pandemik melanda jumlah itu meningkat kepada RM30 juta pinjaman sebulan secara purata pada Mei 2021.

Menurutnya, pada masa ini, purata jumlah pinjaman yang disalurkan kepada PMKS itu telah melonjak kepada RM50 juta ke RM60 juta sebulan apabila Malaysia beralih ke fasa endemik.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk merapatkan jurang kredit untuk PMKS di Malaysia melalui penawaran 'Capital by Boost Credit', kemudahan pembiayaan mikro berasaskan Murabahah Komoditi untuk PMKS.

"PMKS boleh mendapatkan pembiayaan dari serendah RM1,000 hingga RM100,000 dalam tempoh 12 bulan pada kadar keuntungan yang rendah iaitu 1.5 peratus sebulan dan tiada penjamin atau cagaran diperlukan untuk memohon pembiayaan ini.

"Pelanggan boleh meminjam melalui aplikasi Boost Biz atau melalui laman web Boost Biz untuk cara yang mudah dan aplikasi digital sepenuhnya dalam masa kurang dari 10 minit dan dana akan disalurkan dalam masa 48 jam (dua hari bekerja) terus ke bank akaun peminjam selepas diluluskan," katanya.

Sementara itu, Sheyantha berkata penemuan industri menganggarkan kira-kira 55 peratus daripada populasi dewasa Malaysia tidak mempunyai akaun bank manakala hanya 39 peratus daripada rakyat hanya boleh mendapatkan pinjaman daripada bank mereka.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Boost sudah membina rekod prestasi yang terbukti dapat memudahkan akses kepada penyelesaian kewangan digital melalui perniagaan pinjaman besar berasaskan kecerdasan buatan (AI) kami, Boost Credit, yang sudah beroperasi dan membantu memperkasakan kewangan beribu-ribu PMKS tempatan.

"Boost Credit, melalui penyelesaian pembiayaan mikro digital, sudah menyalurkan pinjaman sebanyak RM1 bilion setakat ini di Malaysia dan lebih 40 peratus daripada pelanggan kami tidak pernah menerima kredit daripada perkhidmatan kewangan lain sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 8:00 AM