MOHD Khairil (kiri) menunjukkan e-dompet Boost di Kuala Lumpur.
MOHD Khairil (kiri) menunjukkan e-dompet Boost di Kuala Lumpur.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Axiata Digital Services Sdn Bhd (Axiata Digital) berhasrat meningkatkan jumlah pengguna jenama dompet elektronik (e-dompet) miliknya iaitu Boost kepada tujuh juta pengguna dan 150,000 titik jualan peniaga menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah berkata, pada masa ini e-dompet terbabit memiliki 3.6 juta pengguna dan 63,000 titik jualan peniaga yang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan terutama peruncitan.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran ini berdasarkan pemerhatian dan kajian kami yang mendapati e-dompet semakin diterima baik dalam kalangan pengguna di negara ini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Boost adalah jenama perkhidmatan kewangan di bawah Axiata Digital iaitu unit digital di bawah Kumpulan Axiata Berhad yang ditubuhkan pada 2012 bertujuan mengambil aset daripada syarikat telekomunikasi bagi mewujudkan peluang perniagaan baru.

Jenama terbabit bermula sebagai dompet tambah nilai mudah alih pada Januari 2017 sebelum diperluaskan kepada dompet elektronik (e-wallet) sepenuhnya pada 2017 selepas memperoleh lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, Boost mencatatkan prestasi menggalakkan pada tahun lalu apabila mencatatkan peningkatan 14 kali ganda pertumbuhan bagi purata jumlah perbelanjaan bagi setiap pengguna pada tahun lalu berbanding 2017.

Menurutnya, e-dompet turut mencatatkan pertumbuhan 33 kali ganda pertumbuhan dari aspek nilai transaksi kasar (GTV) mewakili nilai perbelanjaan keseluruhan bagi tahun lalu berbanding 2017.

Segmen penyumbang utama bagi Boost adalah peruncitan yang membabitkan transaksi kod QR dan pembayaran tempat parkir kereta diikuti segmen dalam talian diikuti pembayaran bil.

“Untuk tahun ini, kami menyasarkan peningkatan 10 kali ganda bagi purata jumlah perbelanjaan bagi setiap pengguna dan 18 kali ganda bagi GTV.

“Walaupun jumlah ini dilihat rendah berbanding tahun lalu namun ia relevan berikutan kami mencatatkan pertumbuhan begitu besar pada 2018,” katanya.

Sementara itu, Boost merancang meluaskan perkhidmatannya kepada pembiayaan dan insurans mikro menjelang suku kedua tahun ini selepas mendapat kelulusan BNM baru-baru ini, untuk menawarkan produk kewangan lain selari dengan status Axiata Digital sebagai syarikat perkhidmatan kewangan.

Khairil berkata, perkhidmatan terbabit khusus untuk membantu peniaga Boost dalam kalangan peniaga kecil untuk mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan dan melindungi perniagaan berdasarkan keperluan peniaga.

“Kami lebih memberi fokus kepada peniaga kecil seperti contoh mereka yang meniaga di pasar malam berikutan dua pertiga daripada 63,000 titik jualan peniaga Boost adalah terdiri daripada golongan ini dan kami berpendapat golongan ini perlu dibantu berikutan kesukaran mereka dalam mendapatkan kemudahan insurans dan simpanan.

“Untuk permulaan, kami akan menawarkan perkhidmatan insurans mikro terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pembiayaan mikro dalam tahun ini juga yang memiliki persamaan seperti yang ditawarkan Boost di Indonesia melalui produk dikenali Boost Proteksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:37 AM