PEMBAYARAN aplikasi e-dompet Boost. FOTO arkib NSTP
PEMBAYARAN aplikasi e-dompet Boost. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: E-dompet tempatan, Boost mengumumkan ia kini adalah sebahagian daripada Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata PayNet (RPP) dan akan mengguna pakai DuitNow QR, berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, penglibatan baharu Boost itu adalah tepat pada masanya memandangkan ia memperluaskan tawaran dan keupayaan pembayaran digital luar taliannya untuk membantu memutuskan penularan Covid-19 secara selamat dan tanpa sentuh.

"Kami gembira menjadi sebahagian daripada rangkaian DuitNow QR dan bekerjasama dengan PayNet untuk menyumbang ke arah merangka episod transformasi digital dan tanpa tunai negara yang seterusnya.

"Ia pastinya akan membantu pemulihan ekonomi dengan membolehkan rakyat Malaysia kekal selamat dan tidak bersentuhan apabila keluar ekoran lebih banyak kelonggaran pergerakan diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tempoh seterusnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

DuitNow QR adalah kod standard QR kebangsaan Malaysia yang diwujudkan Payments Network Malaysia (PayNet) di bawah di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

DuitNow QR berfungsi sebagai kod QR standard dan bersama yang menawarkan kaedah berbelanja tanpa tunai, tanpa sentuh dan mudah kepada semua pengguna e-dompet termasuk mereka yang tidak berada di platform Boost.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Paynet, Peter Schiesser berkata, menerusi penyertaan Boost, ekosistem DuitNow akan memperkukuhkan lagi sumbangan mereka bagi membolehkan perniagaan terutamanya perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana menerima pembayaran digital dan menangani impak Covid-19.

"Menerusi asas pengguna dan peniaga Boost yang kukuh serta diperluas ke Sabah dan Sarawak mengguna pakai DuitNow QR, ekosistem DuitNow kebangsaan yang berkembang pesat dijangka memacu pelaksanaan eBayaran yang lebih tinggi dan penyertaan kewangan yang lebih meluas di negara ini," katanya.

Boost menjadi e-dompet utama yang pertama di negara ini pada Oktober 2017 dan telah berkembang pesat dengan memiliki hampir sembilan juta pengguna.

Kini, menerusi kod DuitNow QR, ia meningkatkan asas peniaganya sehingga melebihi 231,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 3:57 PM