Kuala Lumpur: Boost, syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata dan Payments Network Malaysia (PayNet), mengumumkan peniaga Boost kini boleh menerima pembayaran rentas sempadan daripada pelancong Thailand menerusi kod respons pantas (QR) DuitNow.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost Sheyantha Abeykoon berkata, syarikat sentiasa berada di barisan hadapan dalam penyelesaian pembayaran digital untuk memanfaatkan peniaga dan menyediakan pilihan pembayaran yang mudah untuk pembeli tempatan.

"Dengan musim cuti yang semakin hampir, perkembangan ini akan memberi peluang kepada peniaga Boost untuk meluaskan rangkaian pelanggan mereka, manakala pelancong boleh menikmati transaksi ringkas dalam mata wang mereka sendiri dengan hampir lebih setengah juta peniaga yang menawarkan kemudahan Boost di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, Boost berhasrat untuk turut menawarkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura serta negara lain yang berada di liputan PayNet dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya, ciri transaksi lancar serba baharu ini akan merintis jalan untuk memudahkan pelancong menggunakan e-dompet masing-masing bagi membuat pembayaran tanpa memerlukan wang ringgit.

"Pelancong hanya perlu mengimbas kod QR DuitNow Boost, yang akan mengenal pasti lokasi secara automatik semasa pengguna berada di Malaysia dan akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam Ringgit Malaysia. Penukaran automatik akan ditolak daripada e-dompet negara asal mereka," katanya.

Kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand dan aplikasi pembayaran mudah alih institusi kewangan yang mengambil bahagian iaitu CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 7:44 AM