HANYA  15,000 yang melanggan program pendigitalan perniagaan Boost.
HANYA 15,000 yang melanggan program pendigitalan perniagaan Boost.

BOOST, e-dompet gaya hidup tempatan terus menyokong perniagaan terutama perusahaan kecil dan mikro menerusi pembiayaan dan perlindungan dalam bentuk insurans.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khairil Abdullah berkata, walaupun lebih 120,000 perniagaan kecil dan mikro dihubungkan kepada Boost hanya 15,000 yang melanggan program pendigitalan perniagaannya.

"Kami menyasarkan menembusi subkumpulan perniagaan ini untuk mereka mendapatkan ekosistem e-dompet dan meneruskan perniagaan dan bertahan di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19 ini," katanya ketika persidangan maya Building a Robust E-Wallet Ecosystem to Crisis-Proof the Nation di sini.

Mohd Khairil berkata, ada tiga komponen dalam ekosistem itu, pertama, instrumen pembayaran tanpa tunai dengan e-dompet manakala kedua pembiayaan mikro menerusi syarikat sekutunya, Aspirasi, penyedia pembiayaan digital untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai aliran tunai bagi operasi perniagaan mereka untuk menyalurkan modal bagi usaha pendigitalan perniagaan.

Komponen ketiga merujuk kepada menyokong perniagaan untuk beralih daripada luar talian kepada dalam talian di bawah Geran Pendigitalan PKS oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, secara kerjasama dengan Celcom.

Beliau berkata, menerusi geran itu, Boost menyediakan penyelesaian perniagaan digital yang dipermudahkan termasuk Penyelesaian Perniagaan Boost yang melengkapkan peniaga luar talian dengan instrumen pembayaran digital bagi membolehkan mereka mengesan antara lainnya, sejarah transaksi dan data jualan.

Instrumen pembayaran digital itu termasuk Boost Payment Link, ciri pembayaran tanpa sentuh yang membolehkan peniaga menghantar pautan URL pembayaran menerusi e-mel atau aplikasi mesej kepada pelanggan.

Sementara itu, pek permulaan Penyelesaian Pemasaran Digital membantu peniaga melancarkan usaha pemasaran kempen mereka dan juga menawarkan skim mikro insurans yang membantu melindungi pendapatan mereka daripada gangguan.

Mengenai kemungkinan penggabungan dan pengambilalihan, Mohd Khairil berkata, Boost lebih berminat bekerjasama dengan pemain lebih kecil untuk melihat bagaimana kedua-dua pihak boleh saling beroperasi dan terus menjadi relevan kepada pengguna mereka.

"Kita semua perlu berusaha bagaimana menyediakan transaksi perkhidmatan tunai selamat di tengah-tengah pandemik Covid-19," katanya sambil menambah e-dompet menjadi kaedah pembayaran selamat, boleh dipercayai, bersih dan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:10 AM