YUNOS (dua dari kanan) dan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim (dua dari kiri)  pada majlis  menandatangani perjanjian bersama BSN-UiTM. FOTO Sairien Nafis
YUNOS (dua dari kanan) dan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian bersama BSN-UiTM. FOTO Sairien Nafis
hmdigital

SHAH ALAM: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan perjanjian kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melaksanakan Micro Finance Entrepreneurs (MFE) Analytics Pilot Project.

Melalui perjanjian terbabit, kedua-dua pihak bekerjasama bagi menambah baik pengurusan perakaunan pelanggan BSN Micro/i.

Dengan program itu, UiTM melalui pembabitan pensyarah dan pelajar Fakulti Perakaunan, Puncak Alam akan mengguna pakai perisian perakaunan yang dapat membantu pelanggan BSN Micro/i memantau aktiviti kewangan perniagaan dan secara tidak langsung meningkatkan perniagaan mereka agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam pengurusan kewangan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, MFE Analytics Pilot Project berlangsung selama enam bulan yang berakhir Oktober depan.

Menurutnya, pelanggan BSN Micro/i diberi peluang mempelajari dan mengguna pakai perisian perakaunan sepanjang program terbabit diadakan dan mereka juga diberikan pendedahan cara merekodkan transaksi perniagaan seperti jualan, belian, gaji pekerja dan lain-lain rekod perniagaan.

“Melalui program ini, pelanggan Micro/i dapat mengakses maklumat perniagaan mereka dan melihat rekod transaksi perniagaan, sekali gus membantu mereka yang terbabit menguruskan urusan kewangan dan perniagaan mereka dengan lebih cekap serta berkesan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu, di sini.

Beliau berkata, pelanggan dapat mengenal pasti kedudukan kewangan, mengawal kos dan perbelanjaan perniagaan, mengawal aliran tunai perniagaan, jumlah pendapatan dan perbelanjaan perniagaan secara harian, mingguan serta bulanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:21 AM