(Dari kiri ) Dr Aria Putra, bersama  Nurbayu, Presiden Kumpulan HRSB Holdings Sdn. Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassin dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Jamil Hashim. FOTO Amiruddin Sahib.
(Dari kiri ) Dr Aria Putra, bersama Nurbayu, Presiden Kumpulan HRSB Holdings Sdn. Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassin dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Jamil Hashim. FOTO Amiruddin Sahib.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: HRSB Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas Malaysia mensasarkan jumlah pendapatan sebanyak RM500 juta tahun ini.

Sasaran itu dilihat berkemungkinan dapat dicapai susulan pengukuhan operasi dan pembiayaan berterusan daripada SME Bank.

Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim berkata, syarikat kekal optimis dalam keadaan pasaran yang mencabar terutamanya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.

"Pembangunan pengurusan sistematik dan mengadaptasi teknologi serta cara pengurusan baharu, pencapaian syarikat berkembang daripada jualan RM1.8 juta pada tahun pertama penubuhan kepada jualan sebanyak RM270 juta pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, kami yakin boleh mencapai pendapatan antara RM700 ke RM800 juta. Namun, disebabkan keadaan ekonomi yang tidak jelas selepas menghadapi PKP jadi kita mensasarkan RM500 juta dahulu," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Penerimaan Pembiayaan RM132 juta daripada SME Bank di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr Aria Putera Ismail; Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank, Nurbayu Kasim Chang dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd Sabri Zahari.

Mengulas mengenai pembiayaan itu, beliau berkata, secara keseluruhan syarikat menerima pembiayaan bernilai RM132 juta bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, melalui pembiayaan dan bimbingan diberikan bank berkenaan meletakkan syarikat sebagai kontraktor pilihan dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada SME Bank kerana kini HRSB tersenarai dalam syarikat berpotensi mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan 500 peratus Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) dalam tempoh lima tahun melalui program Titan yang dikendalikan pihak SME Bank," katanya.

Sementara itu, Dr Aria berkata, bank menyalurkan bantuan pembiayaan tambahan melalui pembiayaan Kontrak SME Bank bagi membantu perniagaan syarikat terbabit berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, syarikat itu turut terpilih menyertai Program Titan iaitu program pembangunan usahawan peringkat tinggi yang mana syarikat akan dibimbing untuk mencapai penilaian RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

"HRSB antara syarikat terbaik dan melihat perancangan masa depan mereka, kita yakin mereka terus maju dalam industri.

"Kita menyediakan pinjaman bukan hanya memberi keuntungan kepada syarikat tetapi juga syarikat membuka peluang pekerjaan lebih meluas kepada orang ramai selain mereka turut terbabit program melatih 'homeless' membina kemahiran dan peluang kerja kepada golongan itu. Sebab itu SME tertarik membantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:38 PM