FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

SERAMAI 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak penularan pandemik Covid-19 diberi peluang memulihkan perniagaan melalui Program SME Bank Xcess 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SME Bank Xcess adalah program perdana yang dianjurkan SME Bank dalam memenuhi peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) yang bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi juga melaksanakan pelbagai inisiatif melangkaui pembiayaan.

"Saya lihat Program SME Bank Xcess ini sebagai satu inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara," katanya dalam kenyataan.

Program julung kali diadakan secara maya ini adalah platform padanan perniagaan peringkat kebangsaan terbesar anjuran SME Bank.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata SME Bank Xcess edisi 2021 ini berubah secara keseluruhannya daripada apa yang pernah dianjurkan sebelum ini.

"Konsep melangkaui pembiayaan kali ini diterjemahkan melalui empat teras utama iaitu padanan perniagaan, program pembangunan vendor, umbrella dan ekuiti pembiayaan atau ekuiti persendirian.

"Sebanyak 20 syarikat utama terbabit dalam program ini sebagai rakan strategik kami dan untuk Padanan Perniagaan mereka adalah pasar raya besar seperti Aeon, Lulu Hypermarket dan Lesong Mart.

"Manakala, Program Umbrella pula disertai syarikat seperti Ramly Food Processing, KARA Holdings (Ayamas), Bateriku.com, Chatime, Prowheels dan Petro Teguh dan program Pembangunan Vendor pula membabitkan syarikat seperti Pharmaniaga, Tenaga Nasional, Sime Darby Property, Malaysia Airlines, Telekom Malaysia, Boustead Heavy Industries, Duopharma Biotech, Celcom Axiata, UMW Corporation dan UEM Edgenta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:15 AM