LANGKAH membantu usahawan PKS dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - Gambar - NSTP/ASWADI ALIAS
LANGKAH membantu usahawan PKS dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - Gambar - NSTP/ASWADI ALIAS
Sri Ayu Kartika Amri


SME Bank akan menyediakan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa bagi membantu usahawan daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) terutama dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, sektor 3D adalah antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka tergendala akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

"Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa ini membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara 4.0 hingga 5.0 peratus setahun.

"Untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan.

"Ini membolehkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya pelanggan juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (Cedar) iaitu anak syarikat SME Bank.

Kemudahan pembiayaan ini juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

"Kami percaya, dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa SME Bank ini, transformasi perniagaan sektor 3D seperti yang dirancang kerajaan akan dapat direalisasikan lebih cepat, sekali gus menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menyertai sektor 3D ini," katanya.

Pelanggan berminat untuk mengetahui pembiayaan ini boleh hubungi talian 03-26037700 atau pengurus perhubungan atau layari www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:05 AM