Aishah Ahmad
Aishah Ahmad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Harga kereta pemasangan tempatan (CKD) dijangka meningkat lapan hingga 20 peratus pada 2023 berdasarkan perkiraan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais yang baharu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, bagaimanapun pihak industri meminta kerajaan mengembalikan perkiraan lama bagi membendung kenaikan harga kereta CKD.

"Duti eksais tersebut ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung 2022, dan akan dijalankan semula bermula tahun hadapan.

"Kita (MAA) sudah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kembali kepada polisi yang lama di mana hanya kos item bukan pembuatan sahaja dimasukkan dalam pengiraan OMV, yang akan mengurangkan harga kenderaan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan MAA di sini, semalam.

Beliau berkata, OMV merupakan nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.

Perkiraan baru duti eksais Malaysia disediakan MOF ketika pentadbiran Pakatan Harapan dan diwartakan pada 31 Disember 2019.

Aishah berkata, sehingga kini MAA belum menerima maklum balas daripada MOF.

Syarikat automotif tidak akan meningkatkan margin, namun peningkatan harga kereta adalah disebabkan kenaikan cukai, katanya.

"Pembeli yang akan terkesan dan ini sekali gus menyebabkan penjualan kereta akan berkurangan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, MAA juga sedang menyiapkan draf rayuan kepada MOF bagi memohon lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memandangkan berlakunya kekurangan mikrocip.

Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh pengecualian SST ke atas kenderaan sehingga 30 Jun 2022.

Pengecualian SST bagi kenderaan diumumkan kali pertama pada Jun 2020 untuk tempoh sehingga Disember 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian ia dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:24 AM