SEBANYAK 604,287 unit kenderaan dijual pada 2019 berbanding 598,598 unit pada 2018.
SEBANYAK 604,287 unit kenderaan dijual pada 2019 berbanding 598,598 unit pada 2018.
HM Bisnes

JUMLAH jualan kenderaan baharu meningkat satu peratus kepada 604,287 unit pada 2019 berbanding 598,598 unit pada 2018.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, walaupun ia mencatatkan peningkatan kecil, ia dikira satu pencapaian yang baik bagi industri automotif tempatan di sebalik persekitaran yang mencabar.

Beliau berkata, selepas tiga tahun berturut-turut berlegar di bawah 600,000 unit, industri automotif tempatan kembali melepasi paras 600,000 unit pada 2019.

Katanya, peningkatan jumlah jualan kenderaan itu dipacu segmen kenderaan penumpang yang meningkat 3.2 peratus atau 17,080 unit, sementara segmen kenderaan komersial merosot 17.4 peratus atau 11,391 unit.

“Tahun 2019 adalah satu lagi tahun yang mencabar. Kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, pertumbuhan perlahan ekonomi global dan ketidaktentuan politik di Chili, Hong Kong, Eropah dan Asia Barat menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran dan isu, industri automotif tempatan kekal kukuh dan mencatatkan prestasi baik,” katanya mengumumkan prestasi jualan kenderaan pada 2019, di sini, semalam.

Mengulas mengenai unjuran jualan kenderaan 2020, Aishah berkata, tahun ini kekal mencabar bagi industri automotif tempatan.

Beliau berkata, MAA mengunjurkan jualan kenderaan mencatatkan peningkatan kecil 0.5 peratus kepada 607,000 unit.

Katanya, antara cabaran kepada jualan kenderaan dalam pasaran tempatan termasuk perubahan tidak dijangka dalam dasar dan cukai automotif oleh kerajaan akan menjejaskan jualan kenderaan, garis panduan pembiayaan yang ketat, kelemahan ringgit dan penyederhanaan perbelanjaan pengguna.

Sementara itu, katanya harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan dinaikkan tahun ini berikutan langkah kerajaan menyerap kos kenaikan kerana pelaporan nilai pasaran terbuka (OMV) dilaksanakan secara telus.

Katanya, pegawai Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kepadanya semalam bahawa tiada peningkatan harga kereta atas jalan (OTR).

“Ini berikutan pelaporan OMV dibuat secara telus dan terdapat pengecualian 100 peratus terhadap peningkatan harga kenderaan OTR bagi tempoh setahun sehingga 31 Disember 2020 untuk model yang terkesan dengan pengiraan OMV.

“Sebarang kenaikan harga OTR akan diserap sepenuhnya atau dikecualikan oleh MoF tahun ini dan perbezaan dalam duti sebelumnya juga dikecualikan MoF. Ia berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:00 AM