PRESIDEN/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin
PRESIDEN/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin

AGROBANK memperkenalkan kempen istimewa dengan menawarkan perlindungan pakej takaful bernilai RM10 juta sempena Hari Wanita Antarabangsa 2022.

Ia bermatlamat untuk memperkasakan agropreneur wanita Agrobank bagi kategori perniagaan mikro mengenai kepentingan penjagaan dan perlindungan diri, sementara memikul tanggungjawab terhadap keluarga mereka, dari aspek ekonomi dan sosial.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen itu yang dikenali sebagai Kempen Promosi AgroNita memberi fokus kepada agropreneur mikro wanita yang mengusahakan perniagaan berasaskan makanan dan pertanian dan terkesan oleh pandemik Covid-19 serta impak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun ini dan tahun lalu.

"Kebajikan agropreneur kami dan keluarga mereka sama penting bagi kami. Keadaan ketika pendemik menjadi cabaran kepada usahawan untuk memastikan kemampanan perniagaan mereka, terutama bagi agropreneur wanita di bawah kategori mikro.

"Selain perniagaan mereka, wanita juga bertanggungjawab memastikan urusan keluarga mereka dijaga dengan baik dalam apa jua situasi.

"Kami sudah menyokong agropreneur wanita secara berterusan dalam pelbagai cara menerusi pelbagai produk dan inisiatif kami seperti AgroMumtaz dan Agro Farah-i yang dilancarkan ketika tempoh pandemik pada 2020 dan tahun lalu, dan pada tahun ini kami ambil satu lagi langkah ke hadapan dengan menggalakkan mereka memberikeutamaan kepada penjagaan diri dan perlindungan untuk orang yang tersayang," katanya dalam kenyataan.

Kempen Promosi AgroNita antara inisiatif bank untuk mempamerkan penghargaan kepada pelanggan dengan menyediakan perlindungan takaful percuma selama setahun di bawah pelan Takaful Kasih Plus kepada 1,000 pelanggan wanita pertama daripada kategori mikro di Agrobank dengan jumlah tahunan bernilai RM10 juta (RM10,000 setiap seorang).

Kempen ini terbuka kepada usahawan mikro wanita yang menerima sebarang kemudahan pembiayaan di bawah portfolio kewangan mikro yang menggunakan dana khas daripada Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI), Bank Negara Malaysia (BNM) atau mana-mana agensi kerajaan lain bagi tujuan pemulihan ekonomi.

Tempoh kempen bermula 1 Mac lalu bagi 1,000 pelanggan wanita terawal yang juga usahawan mikro Agrobank.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kempen ini bertujuan memperkasakan usahawan tani wanita daripada kategori mikro supaya mampu berdikari dan menjadi wanita yang berjiwa kental dan pada masa sama mengambil berat mengenai kepentingan penjagaan dan perlindungan diri.

"Mandat kami adalah untuk mendidik pemilik perniagaan mikro dalam sektor pertanian, terutama golongan terpinggir dan kurang mendapat perhatian menerusi pelbagai produk dan perkhidmatan kami.

"Menerusi kempen bersempena Hari Wanita Antarabangsa, kami menawarkan sesuatu yang akan memanfaatkan mereka serta keluarga untuk sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 7:15 AM