KETUA Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Shariff (kiri), Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat, Ab Razak Kasbollah (dua dari kiri), Syed Alwi (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin Mohamad (kanan) diperhatikan Salahuddin (tengah) pada Majlis Menandatangani MoU antara Mydin Mohamed Holdings dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat dan Agrobank di MAEPS, Serdang.
KETUA Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Shariff (kiri), Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat, Ab Razak Kasbollah (dua dari kiri), Syed Alwi (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin Mohamad (kanan) diperhatikan Salahuddin (tengah) pada Majlis Menandatangani MoU antara Mydin Mohamed Holdings dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat dan Agrobank di MAEPS, Serdang.
Nabil Basaruddin

Serdang: Agrobank terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif perbankan bagi meningkatkan kewujudan kumpulan usahawan agro dalam pasaran tempatan, sekali gus dapat menyumbang kepada sektor pengeluaran makanan di Malaysia.

Antara inisiatif itu ialah program pembiayaan untuk usahawan wanita, pembiayaan berkelompok dan mewujudkan kerjasama strategik bersama pemain industri runcit serta pembekal dalam rantaian operasi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, bank itu memperkenalkan Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa'-i iaitu kemudahan pembiayaan mikro untuk usahawan agro wanita yang ingin mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani.

Katanya, program pembiayaan itu menggabungkan tiga konsep utama iaitu pembinaan asas disiplin kredit, pengeluaran pembiayaan berterusan dan pemantauan yang konsisten serta sistematik.

Selain itu, pembiayaan berkelompok pula adalah untuk peserta di bawah Program Pelepasan Pemasaran Bersepadu Agropreneur Muda Ternakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat.

"Menerusi inisiatif ini, Agrobank akan membantu peserta yang tergolong di bawah kumpulan B40 dan M40 dengan menyediakan pembiayaan modal kerja untuk membeli ruminan daripada pembekal bagi memastikan pengeluaran mencukupi untuk menampung permintaan pasaran.

"Melalui program ini, bank menawarkan pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 hingga RM300,000 dengan kadar keuntungan serendah 3.75 peratus setahun untuk tempoh lima tahun," katanya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di sini, baru-baru ini.

Syed Alwi berkata, bank itu juga menjalin kerjasama dengan Mydin dengan menyediakan pakej pembiayaan kepada pembekal Mydin sekali gus menyokong operasi dan aktiviti rantaian nilai perniagaannya.

"Program ini adalah platform bagi meningkatkan kewujudan usahawan agro dalam industri kecil dan sederhana (IKS) serta memastikan perniagaan mereka dapat dikekalkan di sepanjang rantaian nilai serta dalam industri runcit moden.

"Melalui inisiatif ini, kami berharap ia dapat menggalakkan usahawan IKS untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri pengeluaran makanan.

"Ia adalah sejajar dengan peranan dalam mandat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) buat Agrobank untuk menyediakan kemudahan kewangan bagi membantu golongan yang kurang mendapat perhatian," katanya.

Tambahnya, semua inisiatif itu antara usaha Agrobank dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negara ini.

Semua program itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sempena MAHA 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 12:51 PM