Mohamad Sabu (enam dari kiri) bergambar dengan pemenang-pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank di One World Hotel. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Mohamad Sabu (enam dari kiri) bergambar dengan pemenang-pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank di One World Hotel. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Berstatus orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang pertanian.

Hal itu dibuktikan oleh Pengarah Urusan NH Nora Trading Rahim Yusoff yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 bagi kategori Anugerah Khas Agropreneur OKU sekali gus melayakkannya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Walaupun tidak mempunyai kedua belah tangan sejak lahir, Rahim yang turut dibantu isterinya, Noraidah Hamzah yang juga lumpuh bahagian pinggang ke bawah tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk mengendalikan perniagaan ternakan lembu, jualan lembu hidup, trading, pemprosesan dan jualan telur masin, pembuatan dan jualan cuka makan dan perkhidmatan jahitan.

Sudah 10 tahun terbabit dalam bidang pertanian, Rahim yang terharu dan gembira dengan penganugerahan itu menyeru kepada masyarakat terutama golongan senasib dengannya menceburi bidang pertanian dan penternakan.

"Kegagalan tidak semestinya kita gagal. Jika kita berusaha, Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran dari Allah yang kita sendiri tidak tahu bila ia akan sampai.

"Saya masuk bidang pertanian kerana sedar peluang kerja untuk golongan OKU ini luas dan bidang pertanian ini mudah dilakukan.

"Oleh itu, kepada golongan yang senasib dengan saya, tidak kira bekas atlit, masalah penglihatan, cacat tangan macam saya, cubalah cari pendapatan tambahan dengan bidang pertanian ini. Jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, ia boleh menjadi pendapatan bulanan.

"Terima kasih juga diucapkan kepada Agrobank kerana memberikan suntikan modal dalam mengusahakan perniagaan dan projek penternakan yang saya sedang jalankan," katanya ketika ditemui pada AAA 2022 di, sini, baru-baru ini.

Anugerah itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sementara itu, Ahmad Badli Shah berkata selain mengiktiraf pelanggan Agrobank yang berprestasi cemerlang serta mengukuhkan hubungan baik dengan pelanggan, AAA 2022 bertujuan meningkatkan kesedaran dan semangat dalam kalangan Agorprenuer untuk terus bekerja keras menambahkan pendapatan.

Anugerah ini juga diadakan khusus untuk menggalakkan peningkatan kesedaran dari segi pertanian kepada Agroprenuer terutama usahawan muda, golongan sasaran dan juga industri kecil dan sederhana (IKS).

"Di Agrobank, kita memberi pendedahan dari segi kewangan, pinjaman dengan modal kecil sehingga dapat bangunkan usahawan itu dari nano kepada mikro kepada IKS seterusnya menjadi korporat yang besar dan menjalankan perniagaan berlandaskan agro makan khususnya pertanian dan sebagainya.

"Oleh itu, AAA 2022 ini, kita memilih calon yang bukan saja berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan bantuan Agrobank tetapi berjaya meningkatkan pendapatan dan turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat," katanya.

Menerusi penganjuran AAA edisi kelima ini, Ahmad Badli Shah berkata Agrobank turut memperkenalkan Anugerah terbaru iaitu Anugerah Viral dalam usaha menguar-uarkan kepada Agropreneur bahawa pemasaran di media sosial adalah platform baru yang mampu memperkenalkan lagi produk mereka.

"Apabila Agrobank mengiktiraf keusahawanan pemasaran ini, kita berharap mereka di luar sana dapat melihat bahawa media sosial adalah platform pemasaran yang bagus untuk meningkatkan pendapatan.

"Di pihak Agrobank pula, melalui Agrobank Centre of Excellent (ACE), kita akan menyediakan latihan dalam pelbagai bidang termasuklah pemasaran di media sosial, pengurusan kewangan dan juga jalinan dengan pemain industri yang besar yang akan mengambil produk mereka untuk dipasarkan," katanya.

Agrobank juga menggalakkan agropreneur untuk terus meningkatkan produktiviti dan kualiti mereka melalui kemahiran pengurusan, sumber manusia, ICT, dan pengurusan kewangan yang baik dan bersistematik.

Ahmad Badli Shah berkata hal itu dapat dilaksanakan melalui pembabitan ACE dengan penyediaan perkhidmatan berkonsepkan latihan keusahawanan merangkumi seni urus kewangan, pemasaran digital, pengembangan perniagaan, pengurusan perniagaan dan sebagainya, khusus buat para usahawan Agrobank dalam melengkapkan dan memperkasakan kemahiran 'soft skills' mereka.

"Setakat ini, seramai 1,020 peserta sudah mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan oleh ACE," katanya.

Pada AAA 2022 kali ini tujuh kategori dipertandingkan antaranya Anugerah Agropreneur Muda; Anugerah Agropreneur Mikro; Anugerah Khas Agroprenuer OKU, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia (Individu) dan Anugerah Pelanggan Setia (Syarikat) dan Anugerah Khas-Ikon Inkubator.

Pemenang anugerah membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 5:06 PM