PENERIMA Anugerah Agropreneur Cemerlang, Ramly Muda (tiga dari kiri) dan Che Minah Ali bersama Ahmad Shabery serta Mohamad Zabidi (kanan).
PENERIMA Anugerah Agropreneur Cemerlang, Ramly Muda (tiga dari kiri) dan Che Minah Ali bersama Ahmad Shabery serta Mohamad Zabidi (kanan).
Mohamad Hussin


“Saya sanggup tak makan asalkan dapat bayar hutang,” kata Yaacob Busu, 57, yang menerima Anugerah Pelanggan Setia (Individu) sempena Anugerah Agropreneur Agrobank 2016 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berpegang pada prinsip itu, Yaacob berkata, setiap kali pembayaran balik pinjaman, dia akan membayar lebih awal daripada tempohnya.

Beliau yang berasal dari Langkawi berkata, pembayaran balik segera amat penting bagi membolehkan orang lain juga membuat pembiayaan.

“Saya sudah membuat pinjaman sebanyak tujuh kali membabitkan RM1 juta dengan Agrobank untuk menjalankan perniagaan penangkapan, pemprosesan, penyimpanan dan pemasaran ikan bilis sejak tahun 1986,” katanya yang juga Nelayan Jaya Peringkat Kebangsaan 1992.

Penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama, Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Tujuh usahawan tani diangkat sebagai penerima Anugerah Agropreneur Agrobank 2016 yang julung kali diadakan untuk mengiktiraf kejayaan pelanggan bank itu dalam pelbagai kategori.

Mereka ialah PRM Foods & Marketing Sdn Bhd (Anugerah Agropreneur Cemerlang), Woon Chin & Sons Sdn Bhd (Anugerah Agropreneur Inovasi) dan Azizi Agro Farm (Anugerah Agropreneur Muda).

Selain itu, Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd menerima Anugerah Agropreneur Wanita, Md Nor Abd Rahman (M) Sdn Bhd (Anugerah Agropreneur Setia - syarikat), Yaacob Busu (Anugerah Agropreneur Setia - Individu) serta Doana Frozen Food (Anugerah Agropreneur Mikro). Mereka membawa pulang trofi, sijil dan hadiah tunai berjumlah RM130,000.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf pelanggan cemerlang Agrobank daripada pelbagai kategori.

Katanya, antara anugerah mengiktiraf agropreneur berjaya yang mampu menjadi ikon bagi usahawan lain dalam industri ini.

“Terdapat tujuh elemen utama dalam penilaian iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, proses, modal insan, pelanggan dan hasil perniagaan.

“Elemen penilaian ini ditanda aras berdasarkan amalan terbaik pengendali anugerah di peringkat global. Anugerah Agropreneur Agrobank telah menyesuaikan instrumen ini supaya dapat digunakan khusus untuk menilai syarikat dan individu di sektor pertanian dan industri asas tani di Malaysia.

“Ia juga dapat menggalakkan lebih ramai usahawan membina perniagaan berasaskan pertanian. Agrobank berbangga dengan pencapaian agropreneur yang bekerja keras demi meningkatkan perniagaan dan projek mereka daripada tahap sara hidup ke tahap komersial dan eksport,” katanya.

Beliau berkata, pertanian penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi terpenting di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Agrobank menyokong impian agropreneur bagi membina empayar perniagaan sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Ramai agropreneur memperoleh manfaat daripada pembiayaan, produk dan perkhidmatan daripada Agrobank. Sebagai bank yang memahami sektor pertanian, kami menyediakan pembiayaan menyeluruh serta merangkumi rantaian penuh dari aktiviti pembekalan input pengeluaran pertanian hingga ke aktiviti hiliran,” katanya.

Menurutnya, ia temasuk pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna serta pembiayaan untuk tanah pertanian, pembelian mesin dan jentera, perdagangan yang berasaskan pertanian dan modal pusingan.

“Perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank pula tidak terhad kepada pembiayaan kewangan malah turut membabitkan Program Pembangunan Usahawan Agro (ADP).

“Sehingga kini, Agrobank telah berjaya menganjurkan 338 program dan telah melatih seramai 12,954 usahawan tani di seluruh Malaysia dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani.

“Sebahagian daripada usahawan berjaya dijemput memberi motivasi dan berkongsi amalan terbaik perniagaan dengan peserta kursus,” katanya.

Mohamad Zabidi berkata, program ADP yang diperkenalkan sejak awal tahun 2013 antara Agrobank bagi membantu usahawan dengan memfokuskan aspek pengurusan perniagaan, kewangan dan teknikal.

“Kolaborasi bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Indusrti Asas Tani (MOA) sangat penting untuk program sebegini.

“Dengan wujudnya kursus dan khidmat nasihat yang ditawarkan Agrobank, hal berkaitan isu perniagaan dapat diselesaikan dengan berkesan dan sebagai manfaat tambahan, usahawan juga dapat menyertai program disediakan MOA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:46 PM