Amir Mamat

Jasin: Syarikat pengeluar kaca terbesar di Asia, Xinyi Glass Holdings Limited akan membesarkan lagi kilang pembuatan bahan itu menerusi penanaman modal tambahan berjumlah RM1.4 bilion.

Kilang berkenaan ketika ini beroperasi di kawasan 37.65 hektar di Pusat Perindustrian Elkay, Lipat Kajang di sini, namun syarikat berkenaan memerlukan satu lagi kawasan bersebelahan kilang sedia ada berkeluasan 52.6 hektar bagi membolehkan mereka membangunkan lagi pusat pembuatan cermin untuk kenderaan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat berkenaan disuarakan pihak pengurusan syarikat terbabit pada siri lawatan kerjanya di kilang berkenaan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana ia membabitkan sejumlah pelaburan yang besar sekali gus mampu meningkatkan ekonomi negeri.

"Untuk tujuan terbabit, kerajaan negeri sedia untuk membantu syarikat berkenaan sebagai pemudah cara dalam meluaskan lagi sayap perniagaannya memandangkan syarikat itu banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

"Setakat ini, pekerja tempatan di Xinyi Glass yang direkodkan sudah mencapai 55 peratus dan saya percaya jika kilang baharu ini beroperasi kelak, ia sekali gus akan membuka sehingga 400 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Melaka," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang berkenaan hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Azmi Hussain, Pengurus Besar Invest Melaka Ramli Mohd Ali dan Pengarah Kewangan Xinyi Glass Holdings Limited,Datuk Sin Ket Hin.

KILANG Xinyi Glass di Industrial Park Lipat Kijang, Jasin. FOTO Syafeeq Ahmad
KILANG Xinyi Glass di Industrial Park Lipat Kijang, Jasin. FOTO Syafeeq Ahmad

Ab Rauf berkata, apabila siap kelak, Xinyi Glass menjadi satu-satunya syarikat pembekal cermin kenderaan untuk pihak ketiga yang akan dibekalkan di seluruh dunia.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, di sini yang membabitkan kos RM2 bilion.

Katanya, langkah berkenaan mampu mempercepat serta memudahkan syarikat industri di negeri ini serta negeri berhampiran untuk mengeksport pelbagai barangan keluaran syarikat mereka ke luar negara, sekali gus berupaya meningkat hasil pengeluaran.

"Memang ada sebahagian produk perindustrian kita sekarang ini menggunakan kemudahan di Tanjung Bruas, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk membantu proses eksport.

"Sebagai contoh, Kilang Xinyi Glass mengeluarkan 400 unit kontena setiap hari dan menjadi 1,200 kontena untuk tempoh sebulan, justeru mereka memerlukan sebuah pelabuhan yang lebih besar serta mempunyai kemudahan lengkap untuk mengeksport produk mereka.

"Sebab itulah kita mahu menaik taraf pelabuhan ini supaya dapat meningkatkan jumlah barangan eksport serta dapat membantu semua kawasan perindustrian kita menghantar produk mereka ke luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang terbabit dalam pengurusan Pelabuhan Tanjung Bruas dalam masa terdekat bagi membincang beberapa perkara termasuk penyelarasan pengoperasian pelabuhan.

"Ia termasuklah mengadakan perbincangan dengan pihak Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) memandangkan kawasan pelabuhan ini turut termasuk di dalam kawasan zon ekonomi yang sedang dirangka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:39 PM