Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic Bank) mengumumkan akan menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan di bawah inisiatif yang dikenali sebagai Program Bantuan Kewangan dan Bantuan Ansuran (FAIR) kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, Program FAIR ialah penyelesaian bantuan kewangan yang disesuaikan dengan profil dan keadaan semasa pelanggan dalam waktu yang mencabar ini, untuk pelanggan dari pelbagai segmen iaitu individu, pelanggan PKS dan korporat.

"Kami amat prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia yang terjejas yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengambil maklum bahawa mereka juga mempunyai keutamaan lain yang lebih penting serta keperluan kewangan pada masa ini.

"Kami berharap melalui FAIR ini akan dapat membantu meringankan sebarang kesulitan kewangan yang dihadapi dalam waktu mencabar ini serta membantu mereka meneruskan rutin harian secepat mungkin," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, program bantuan kewangan itu juga merangkumi penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan, serta moratorium pembayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan dan akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

Pelanggan yang terjejas boleh membuat permohonan untuk program bantuan kewangan ini bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:30 PM