HAMZAH (dua dari kanan) melawat pasar raya selepas merasmikan Ekspo Makanan Pasaraya Lulu.
HAMZAH (dua dari kanan) melawat pasar raya selepas merasmikan Ekspo Makanan Pasaraya Lulu.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lulu Group Retail Sdn Bhd (Lulu Group Retail), syarikat pemilik rangkaian Pasaraya Lulu menyasar untuk mencatat jualan RM1 bilion di rangkaian pasar raya itu termasuk yang baru dibuka di negara ini menjelang tahun depan.

Pengarah Serantaunya Asif Moidi Ahamed berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu terutama disumbangkan oleh pembukaan cawangan barunya.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya ada satu cawangan Pasaraya Lulu. Pihaknya merancang untuk meluaskan lagi rangkaian bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Mengikut perancangan, kami mahu mempunyai lima cawangan Pasaraya Lulu sehingga tahun depan dan menjelang akhir tahun ini, kami akan membuka cawangan baru di Taman Shamelin Perkasa.

“Seterusnya, kami akan membuka cawangan di Bangi Gateaway dan Setia Alam menjelang tahun depan dan beberapa lokasi lain masih dalam pertimbangan,” katanya kepada Bisnes Metro selepas majlis pelancaran Ekspo Makanan Pasaraya Lulu, di sini, semalam.

Ekspo berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sempena ekspo itu, Pasaraya Lulu menawarkan potongan harga istimewa bagi 250 produk makanannya kepada pelanggan.

Asif berkata, Pasaraya Lulu juga akan menganjurkan Jualan Gudang sehingga 31 Julai ini bagi menawarkan pelanggan penjimatan berganda.

Menurutnya, setakat ini, terdapat 136 cawangan di seluruh dunia termasuk satu di Malaysia.

Kehadiran Pasaraya Lulu dalam perniagaan peruncitan bukan saja memberi manfaat kepada syarikat, malah dapat menawarkan 40,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuk 300 pekerja bagi operasinya di Malaysia.

Syarikat Lulu Group Retail International berpangkalan di Abu Dhabi dan mempunyai lebih 39,000 kakitangan dari pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 1:50 AM