CHUI bersama produk jus segar di bawah jenama Jussu.
CHUI bersama produk jus segar di bawah jenama Jussu.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kara F&B Productions Sdn Bhd komited untuk membawa produk buatan Malaysia ke pasaran Timur Tengah dan Singapura dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengarah Urusannya, Sharon Chui berkata, menerusi produk jus segar di bawah jenama Jussu, pihaknya yakin bukan sahaja mendapat permintaan konsumer Malaysia, malah global.

Katanya, memandangkan syarikat itu mempunyai mesin pemprosesan hidraulik pembasmi kuman tekanan sejuk tinggi pertama di Malaysia, pihaknya bersedia menjadi pemain utama segmen makanan dan minuman (F&B) di negara ini.

"Kami merancang memperkembangkan pasaran tempatan dan luar negara, malah Jussu sudah berada di pasar raya seperti Jaya Grocer dan tahun depan kami akan memasuki rangkaian AEON dan Mydin.

"Kelebihan Jussu ini, ia minuman yang dihasilkan menggunakan buah-buahan segar tanpa pengawet sedia diminum dan dijual pada harga mampu milik," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya mengeluarkan lima jenis minuman bagi kategori detox, kesihatan jantung, antioksida, imun badan dan antiradang yang mengandungi buah seperti ubi bit merah, lobak, markisa dan pelbagai lagi.

Chui berkata, pihaknya juga menyasarkan 200,000 botol Jussu akan terjual menjelang 2021 berbanding 80,000 tahun ini kerana impak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi tahun depan, syarikat turut merancang untuk membuat mesin layan diri di hospital yang akan menjual produknya pada harga RM6.50.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:51 AM