MUHAMMAD  Khair sasar bantu 50 usahawan tahun ini.
MUHAMMAD Khair sasar bantu 50 usahawan tahun ini.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Putrajaya: Khair Inspirasi Sdn Bhd, penyedia Caffe Don Cortez, bersedia berkongsi kepakaran untuk melatih mereka yang ingin menceburkan diri menjadi usahawan kopi barista secara percuma.

Pengarahnya, Muhammad Khair Sulam berkata, pada masa ini ramai yang mengambil peluang menjual minuman kopi kerana margin lebih tinggi dan tidak memerlukan ramai pekerja.

  Katanya, tahun ini pihaknya menyasarkan untuk membantu lahirkan 50 usahawan kopi barista.

  "Kami mempunyai tiga cawangan Caffe Don Cortez iaitu di Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Taman Teknologi Malaysia.

  "Rancangan tahun ni saya juga hendak buka dua atau tiga cawangan lagi yang berkonsep layan diri.

  "Selain itu, kami juga akan berkongsi kepakaran dalam bidang minuman dan makanan (F&B) terutama mereka yang ingin berkecimpung dalam segmen kedai kopi.

  "Kami tidak mengambil sebarang yuran kerana ini merupakan satu projek kebajikan syarikat.

  "Kami akan mengajar selok-belok perniagaan termasuk perkongsian jenis kopi dan beli produk secara terus dengan pembekal kerana pemilihan kopi sangat penting," katanya.

  Beliau berkata, perancangan jangka panjang, pihaknya akan membuka pusat kemahiran kulinari memenuhi pasaran F&B.

  "Visi kami untuk mempunyai pusat kemahiran sehenti yang mampu melahirkan pemain berbakat dalam industri F&B sekali gus menjana pendapatan buat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 7:00 AM