MOHD Muazzam menegaskan Bank Islam diberi autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat.
MOHD Muazzam menegaskan Bank Islam diberi autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat.

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menempa satu lagi peristiwa penting dalam sejarah industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Berhad (BHB).

Penyenaraian ini menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat.

Langkah-langkah penjajaran semula dalaman ini turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang membabitkan pengagihan semula semua pegangan BHB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), kepada pemegang saham BHB, seterusnya, pemindahan status penyenaraian BHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

Pada masa sama, BHB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan bank mengambil peranan sebagai syarikat induk.

Langkah ini menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaannya serta menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini.

"Melalui penyenaraian ini, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan di masa hadapan dengan cekap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:02 AM