Oleh Nabil Basaruddin


BIMB Holdings Bhd (BHB) mengumumkan langkah penstrukturan semula kumpulan yang akan membuka nilai signifikan kepada pemegang saham dan memindahkan status penyenaraian yang dimiliki kepada anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

BHB berkata, apabila status penyenaraian BHB dipindahkan, ia sekali gus menjadikan Bank Islam sebagai institusi kewangan Islam penuh dan tulen pertama yang tersenarai di rantau ini seterusnya akan meningkatkan reputasi korporatnya.

Syarikat itu berkata, pada 1992, Bank Islam buat pertama kalinya disenaraikan di Bursa Malaysia Securities, sebelum BHB diwujudkan pada 1997 bagi menggantikan Bank Islam sebagai syarikat pemegangan Kumpulan.

Menurutnya, langkah terbabit sekali gus menjadikan BHB sebagai jentera penyenaraian Kumpulan.

“Penyenaraian ini akan membolehkan Bank Islam berada pada posisi yang lebih baik dalam sektor kewangan Islam dan pasaran modal Islam serta mengambil peluang terhadap pertumbuhan kedua-dua pasaran dalam usaha untuk memperluas asas pelanggannya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

BHB berkata, susulan pengagihan dan pembayaran semula modal, syarikat menjangka struktur kumpulan baharu mampu mencapai potensi peningkatan perolehan melalui pelupusan atau meminimumkan duplikasi sumber dan infrastuktur serta mengurangkan kerumitan dalam pengurusan risiko kumpulan.

Menurutnya, Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) akan memberi fokus terhadap kekuatan perniagaan masing-masing, membenarkan penggunaan lembaran imbangan yang lebih efisien dan mempertingkatkan pengurusan modal kerja.

BHB berkata, cadangan penstrukturan itu akan membabitkan lima komponen iaitu yang pertama adalah Cadangan Penempatan saham BHB baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta.

Katanya, hasil daripada usaha itu bersama tunai dalaman akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki sukuk yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Seterusnya, menurut syarikat itu, penyusunan semula dalaman, yang mana BHB akan melupuskan kesemua pegangan ekuiti dalam subsidiari dagangan saham dan pemajakannya kepada Bank Islam, untuk diselesaikan dalam bentuk tunai.

Menurutnya, pertimbangan bagi pelupusan syarikat subsidiari ini adalah berdasarkan nilai aset bersih yang telah diaudit terbaharu.

“Setelah memuktamadkan proses berkaitan, keseluruhan pegangan saham BHB di Bank Islam dan STMKB akan diagihkan melalui ‘pengagihan-in-specie’ kepada pemegang saham BHB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 12:58 PM