GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: BIMB Holdings Bhd akan menerbitkan 222.22 juta saham baharu, mewakili 12 peratus daripada modal terbitan saham untuk meraih RM795.6 juta.

Katanya langkah penetapan harga berkaitan penempatan sahamnya telah disempurnakan hari ini dan telah menerima lebihan langganan daripada pemegang saham sedia ada dan pelabur baharu.

Lembaga Pengarah telah menetapkan harga terbitan pada kadar RM3.58 sesaham penempatan, mewakili diskaun kira-kira 9.4 peratus pada Harga Purata Harian Saham BHB untuk lima hari urus niaga sehingga dan termasuk 12 April 2021 iaitu RM3.9521 sesaham.

Secara berasingan, bank telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa sekuriti BIMB akan menyambung semula dagangan pada Rabu jam 9 pagi.

Dagangan BIMB digantung sehingga 5 petang hari ini, sementara menunggu pengumuman penting berhubung langkah pengumpulan dananya.

BIMB sedang melakukan langkah penstrukturan semula yang dijangka selesai pada Ogos, dengan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd akan mengambil alih status penyenaraian BIMB di Pasaran Utama.

Pengendali bursa saham telah meluluskan permohonan itu pada Isnin.

Saham kumpulan kewangan itu diniagakan kali terakhir pada RM3.94.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 9:38 PM