Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi pada sidang media hari ini. FOTO Azhar Ramli
Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi pada sidang media hari ini. FOTO Azhar Ramli
Sri Ayu Kartika Amri


Brahim's Holdings Berhad (BHB), optimis untuk keluar dan pulih daripada status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) secepat mungkin disokong dengan pelan regularisasi yang akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, BHB juga akan memulakan perbincangan strategik dengan rakan kongsinya untuk mengkaji semula modal dan struktur perniagaannya sebagai memenuhi syarat penyenaraian.

Katanya, BHB turut menyakinkan pemegang saham, pembekal dan rakan kongsinya bahawa operasi perniagaan Brahim's tetap berjalan seperti biasa.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif utama bagi memacu perkembangan operasi dan produktiviti berdasarkan semakan semula pihak pengurusan serta ahli lembaga.

“BHB juga akan mendapatkan konsultasi dengan Penasihat Utama bagi mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh tiga bulan dan akan mengumumkannya perkara selanjutnya,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ibrahim berkata, pihaknya mempunyai tempoh masa 12 bulan daripada sekarang untuk menyerahkan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan melaksanakannya dalam jangka masa yang ditetapkan oleh SC atau Bursa.

PN17 adalah singkatan kepada Practice Note 17/2005 yang merujuk kepada syarikat yang sedang mengalami masalah kewangan dan syarikat terbabit tidak memenuhi syarat minimum dari segi sudut modal atau ekuiti yang telah ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Syarikat yang telah diumumkan berstatus PN17 ini perlu mengemukakan pelan perancangan penstrukturan semula syarikat kepada Bursa Malaysia.

Minggu lalu, BHB disenaraikan dalam status PN17 berikutan ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah paras 25 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:39 PM