MOHD Muazzam (tengah) pada sesi taklimat kepada media, semalam.
MOHD Muazzam (tengah) pada sesi taklimat kepada media, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan menjadi satu-satunya institusi perbankan Islam penuh yang tersenarai di Bursa Malaysia apabila proses penstrukturan semula syarikat induknya, BIMB Holdings Bhd (BHB) selesai menjelang Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, setakat ini proses penstrukturan semula berjalan lancar dan kini dianggarkan pada paras 20 peratus.

Katanya, proses itu turut menerima kelulusan daripada pemegang saham serta dijangka dapat ditamatkan selewatnya Ogos ini.

"Proses penstrukturan semula Bank Islam sudah pun berjaya melalui fasa paling sukar terutama dalam mendapatkan persetujuan daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, dan pemegang saham serta pemegang waran.

"Kedudukan modal Bank Islam selepas penstrukturan ini juga dijangka kekal kukuh kerana pemerolehan anak syarikat BHB selain daripada Takaful Malaysia, tidak akan memberi impak ketara kepada profil perniagaan Bank Islam secara keseluruhannya.

"Terbitan saham baharu Bank Islam bulan ini yang menjana RM800 juta pula akan digunakan untuk membayar sukuk tertunggak, yang dianggarkan bernilai antara RM920 juta dan RM960 juta manakala penyelesaian waran tertunggak berjumlah RM162 juta akan dibayar selepas itu.

"Bank Islam kemudian akan mengambil alih semua anak syarikat BHB dan pemilikan saham akan ditukar kepada saham Bank Islam pada nisbah 1:1 manakala pemilikan saham BHB akan ditukar kepada saham Takaful Malaysia dianggarkan pada nisbah 4:1, bergantung nilai pasaran.

"Selepas semua ini selesai, Bank Islam akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan muncul sebagai satu-satunya institusi perbankan Islam penuh yang tersenarai," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:00 AM