Pelbagai pihak berusaha mendepani keraguan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat di Malaysia. - FOTO Hiasan
Pelbagai pihak berusaha mendepani keraguan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat di Malaysia. - FOTO Hiasan
Hanis Aliaa Hidzir

PANDEMIK Covid-19 satu krisis yang dikhuatiri masyarakat sejak tahun lalu namun orang ramai dilihat berganding bahu dan kekal bersatu bagi menentang virus ini.

Pelbagai usaha diambil kerajaan bagi mengekang penyebaran wabak serta memutuskan rantaian jangkitan termasuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Ramai pihak dilihat aktif menyokong inisiatif kerajaan supaya rakyat Malaysia mendapat vaksin dengan kadar segera.

Selain membantu golongan terjejas, pihak ini juga berusaha mendepani keraguan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan pengambilan vaksin bagi mengekang pandemik Covid-19 di Malaysia.

Antara syarikat mendukung usaha ini menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk Watsons Malaysia, Media Prima Berhad dan GlaxoSmithKline (GSK) Malaysia.

Watsons Malaysia

Merasa bertanggungjawab membantu golongan terkesan akibat Covid-19, Watsons Malaysia tampil dengan sumbangan #KitaSayangKita Care Box.

Kotak bantuan mengandungi barangan seperti paracetamol, syampu, gel mandian, ubat gigi, berus gigi, cecair pensanitasi tangan dan pelitup muka ini disampaikan kepada kira-kira 1,000 orang.

Selain itu, sumbangan barangan seperti pelitup muka, cecair pensanitasi tangan, ubat gigi dan keperluan makanan turut disampaikan ke 16 pusat penjagaan orang tua di sekitar Lembah Klang. 

ImagePelanggan yang layak boleh menuntut pelitup muka KF94 dan baucar bernilai RM8 di Watsons yang terpilih dengan menunjukkan laman janji temu MySejahtera. - FOTO The Rakyat Post

Syarikat ini turut memberikan pelitup muka KF94 dan baucar Watsons bernilai RM8 kepada mereka yang telah mendaftar untuk divaksin atau yang telah menerima vaksin. 

Selain itu, Watsons Malaysia turut melancarkan Watsons Essential Care Box menerusi kempen Kekal Bersih & Kekal Sihat yang dijual kepada pelanggan mereka.

Pakej ini mengandungi barangan keperluan vaksinasi seperti cecair pensanitasi tangan, pelitup muka, sekotak paracetamol dan vitamin C. 

Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat tentang garis panduan persiapan sebelum menerima vaksin Covid-19 dan kaedah penjagaan pasca vaksinasi yang menampilkan duta Watsons.

Watsons turut menggalakkan pelanggan mereka mendapatkan vaksinasi melalui perkongsian di media sosial mereka seperti jenis vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia dan sebagainya.

Media Prima Berhad

ImageMedia Prima Berhad menerusi TV3 turut membeli produk untuk diberikan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada aktiviti CSR mereka. - FOTO Media Prima

Menerusi WOWSHOP, Media Prima Berhad dengan kerjasama HETCH, melancarkan kempen CSR WOWSHOP X CARES untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit Covid-19 dan petugas barisan hadapan.

Hasil kutipan dana di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MPNHF) ini digunakan untuk pembelian kelengkapan perubatan bagi merawat pesakit Covid-19 menerusi kempen Bantuan Kemanusiaan Covid-19. 

RM10 bagi setiap produk HETCH yang dijual di platform WOWSHOP turut disumbangkan ke kempen Bantuan Kemanusiaan Covid-19 MPNHF.  

Sementara itu, Media Prima Omnia Sdn Bhd turut tampil dengan kempen #KitaMalaysia bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan mempromosikan jenama mereka di platform Media Prima. 

Inisiatif ini bukan sahaja memberikan pendedahan jenama PKS di platform beli-belah dari rumah dan e-dagang Media Prima malah menawarkan pilihan pengintegrasian platform media yang lebih meluas. 

Kempen ini juga memberi peluang kepada syarikat besar dan agensi kerajaan untuk turut mengambil bahagian dan menghulurkan bantuan kepada usahawan PKS. 

Lebih menarik, nilai media bernilai RM1 juta turut diberikan kepada usahawan yang mendaftar awal bagi mana-mana pakej PKS #KitaMalaysia.

GSK Malaysia

ImageGSK Malaysia melaksanakan kempen di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan kesakitan dan demam pasca vaksinasi Covid-19. - FOTO Reuters

Sebagai sebuah syarikat gergasi, GSK Malaysia menyokong usaha kerajaan memerangi keraguan vaksin dalam kalangan masyarakat dan bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober 2021.

Justeru, GSK Malaysia tampil dengan kempen bagi membantu meningkatkan pendaftaran vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Kempen ini menekankan penggunaan paracetamol untuk mengendalikan simptom pasca vaksinasi Covid-19 seperti kesakitan dan demam, supaya mengikis sebarang keraguan mengenai vaksinasi Covid-19

Inisiatif ini merangkumi persediaan sebelum mendapatkan vaksinasi, panduan serta maklumat penting mengenai cara mengendalikan simptom-simptom pasca vaksinasi Covid-19 seperti kesakitan dan demam.

Dilancarkan secara berfasa mulai Jun 2021, syarikat ini menyiarkan video pesanan khidmat masyarakat berdurasi 20 saat mengingatkan orang ramai menjaga diri ketika pandemik dan menggunakan paracetamol dengan betul sebagai salah satu kaedah rawatan simptomatik pasca vaksinasi Covid-19 seperti kesakitan dan demam.

Satu siri kandungan bermaklumat mengenai cara penjagaan diri termasuk menguruskan kesakitan dan demam pasca vaksinasi Covid-19 turut dipaparkan di pelbagai platform termasuk saluran digital dan media sosial GSK Malaysia serta media.

Maklumat interaktif mengenai persiapan sebelum menerima vaksin Covid-19 dan kaedah penjagaan pasca vaksinasi Covid-19 turut dipaparkan di premis-premis jualan tempatan seluruh negara.

Selain itu, sumber pendidikan mengenai vaksin Covid-19 dan penjagaan pasca vaksinasi untuk pesakit turut diberikan kepada 2,000 ahli farmasi dan penolong farmasi di seluruh negara.

Risalah mesra pengguna mengenai vaksin Covid-19 yang mengandungi panduan mengenai cara mengendalikan simptom-simptom pasca vaksinasi Covid-19 seperti kesakitan dan demam juga diedarkan kepada 700 klinik am dan farmasi.

Untuk lebih maklumat mengenai inisiatif GSK Malaysia, layari laman sesawang GSK Malaysia serta laman rasmi Facebook dan Instagram mereka. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:35 PM