TENGKU Adnan (dua kiri) melihat model skala baru pelancaran Pavilion Damansara Heights.
TENGKU Adnan (dua kiri) melihat model skala baru pelancaran Pavilion Damansara Heights.
Idris Musa

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan rakan kongsi antarabangsa bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi metropolis yang dinamik dan berkembang maju untuk perniagaan, peruncitan dan kehidupan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, matlamat membina bandar raya masa depan yang berdaya huni tidak dapat dicapai tanpa sokongan pemaju dan rakan kongsi antarabangsa.

“Tahun lalu, kita dapat saksikan Kuala Lumpur berada dalam kalangan 10 bandar raya paling banyak dikunjungi di dunia oleh Euromonitor dan salah sebuah bandar raya terbaik di Asia Tenggara dalam kajian kualiti hidup Mercer.

“Ini adalah petunjuk yang kukuh, kita sebagai sebuah negara sedang menuju ke arah yang betul untuk meletakkan Kuala Lumpur antara 20 bandar raya berdaya huni pada 2020,” katanya ketika berucap merasmikan pembangunan Pavilion Damansara Heights, di sini, semalam.

Mengulas mengenai Pavilion Damansara Heights, Tengku Adnan berkata, pembangunan baru itu akan membantu memperkukuh kedudukan ibu kota sebagai destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.

Katanya, penduduk di kawasan sekitarnya akan mendapat manfaat daripada kenaikan nilai hartanah mereka.

“Setelah siap pada 2022, saya yakin pembangunan gaya hidup bersepadu 16 ekar (6.5 hektar) Pavilion Damansara Heights akan meningkatkan taraf hidup di salah satu kawasan kejiranan paling mewah di Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 3:47 AM