GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia), yang sebelum ini dikenali sebagai Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, melancarkan cawangan perdana kedua dan ketiganya, Lotus's Penang E-Gate (Pulau Pinang) dan Lotus's Desa Tebrau (Johor), semalam.

Lotus's Malaysia adalah jenama baharu hasil daripada pengambilalihan Tesco Malaysia oleh konglomerat multinasional yang berpangkalan di Thailand, Charoen Pokphand Group Co Ltd (CP Group), Disember lalu.

Menerusi pengambilalihan itu, Lotus's Malaysia kini mengambil alih operasi Tesco yang sedia ada dengan lebih 8,600 pekerja merangkumi satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran dan 62 cawangan kedai di seluruh Semenanjung Malaysia.

Peruncit itu membuka cawangan perdana pertamanya di Kepong, Kuala Lumpur pada Mac tahun ini.

Presiden Lotus's Malaysia Kenneth Chua berkata kumpulan itu akan memperluaskan penjenamaan semula ke semua cawangan kedainya mulai bulan ini.

"Sasaran kami adalah untuk menyelesaikan kesemua cawangan menjelang akhir tahun ini dan terus melabur di dalam negara untuk membuka lebih banyak cawangan kedai di masa depan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pelancaran kedua-dua cawangan perdananya.

Beliau menambah kumpulan peruncit itu juga akan mengembangkan kapasiti membeli-belah dalam talian berdasarkan permintaan pelanggannya yang semakin meningkat.

"Aplikasi yang kami miliki serta halaman web akan diperbaiki untuk pengalaman pelanggan yang lebih lancar.

"Bergerak ke hadapan, kami akan meningkatkan perkhidmatan untuk memberikan layanan terbaik kepada pelanggan," kata Chua sambil menambah peruncit itu telah berhenti menawarkan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran.

Beliau berkata, ini adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 bagi menjadikan negara ini lebih bersih dan lestari alam sekitar menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 12:20 PM