LOTUS Malaysia
LOTUS Malaysia
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia), rangkaian pasar raya besar terkemuka di Malaysia memperkenalkan platform baharu dalam talian yang menggabungkan kedua-dua program kesetiaan dan platform Lotus's ke dalam satu aplikasi bagi memberi pengguna pengalaman phygital yang menarik ketika membeli-belah.

Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah berkata, selain penggunaan platform teknologi, pihaknya juga menyelesaikan penjenamaan semula 62 bekas cawangan Tesco.

"Visi kami mahu menceriakan pelanggan dengan memberikan kemudahan lebih baik dan pengalaman membeli-belah diperibadikan.

"Dengan menggabungkan kedua-dua program kesetiaan MyLotus's dan platform dalam talian Lotus's, pelanggan boleh membeli-belah dalam talian dan serta-merta mengumpul mata termasuk menebus ganjaran menggunakan Aplikasi Lotus's baharu ini.

"Dengan kemajuan dalam teknologi maklumat, kami lebih dilengkapi dengan data untuk memahami keperluan pelanggan dan menyesuaikan promosi serta ganjaran kepada individu walaupun mereka tinggal dalam rumah sama untuk memberikan pengalaman membeli-belah lebih diperibadikan," katanya.

Menurutnya, program kesetiaan MyLotus's itu juga boleh dinikmati pelanggan yang membeli-belah di stor fizikal.

Lotus's pada masa ini juga mempunyai Aplikasi Scan & Shop untuk membolehkan pelanggan mengimbas barangan yang hendak dibeli di stor.

Beliau berkata, ini membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan dan mengurus belanjawan mereka serta lorong khusus untuk pembeli Scan & Shop juga disediakan untuk mempercepatkan proses pembayaran.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang pantas dan selamat di 28 rangkaian Lotus's melalui kaunter pembayaran layan diri tanpa tunai yang menerima pembayaran kad debit dan kredit serta e-dompet seperti Boost, kiplePay, GrabPay, Alipay, MCash, MAE, ShopeePay, Touch 'n Go dan UnionPay.

Lotus's juga komited mewujudkan aspirasi untuk menjadi peruncit yang mengamalkan kelestarian melalui semangat komuniti #KitakanJiran dan usaha alam sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 12:46 PM