ZAINAL Abidin. FOTO Arkib NSTP
ZAINAL Abidin. FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Perodua mengekalkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit bagi 2021 walaupun mengharungi situasi pandemik selain masalah kekurangan semikonduktor.

Setakat lima bulan pertama tahun ini, Perodua berjaya menjual 96,281 unit kenderaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan yang dicatatkan setakat Mei lalu mewakili peningkatan 82 peratus daripada 52,920 kenderaan yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di antara Mac hingga Mei.

"Pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, dengan Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun berkenaan, iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun ini.

"Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.

"Walaupun menghadapi cabaran berkenaan, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian lain, kami percaya Perodua mampu mencapai sasaran 240,000 unit tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, sekali gus membantu Perodua menampung permintaan, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.

"Kami memahami bahawa langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi melawan pandemik ini adalah perlu demi kesihatan dan keselamatan rakyat, dan kami, bersama-sama pembekal dan pengedar kami, akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak kerajaan bagi meratakan lengkung Covid-19," katanya.

Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan ini, Zainal berkata, pelanggan boleh menghubungi pusat servis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Bagi penghantaran kenderaan baharu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kefahaman dan kesabaran mereka dalam menunggu kenderaan mereka," katanya.

Perodua telah menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:14 PM