ZAINAL Abidin membentangkan  kajian penuh Perodua untuk  2019, semalam.
ZAINAL Abidin membentangkan kajian penuh Perodua untuk 2019, semalam.
Lizam Ridzuan


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan 240,000 unit kenderaan tahun ini, hampir sama seperti dicatatkan tahun lalu iaitu 240,341 selepas mempamerkan prestasi terbaik berbanding 227,000 unit yang dicatatkan pada 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya optimis dengan sasaran jualan itu yang bakal disumbangkan menerusi Myvi generasi ketiga dan Bezza Edisi 2020 dilancarkan awal tahun ini, selain Axia, Aruz dan Alza.

“Didorong permintaan tinggi, kami jangka jualan 2020 menyamai angka tahun lalu dan ia dilihat realistik walaupun persaingan dijangka bertambah sengit pada tahun ini.

“Angka jualan 2019 melihatkan peningkatan 13,908 unit iaitu 5.8 peratus berbanding 2018 yang juga catatan jualan tertinggi dalam sejarah Perodua,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Sambutan Tahun Baru Cina bersama Media dan Semakan Tahunan Perodua 2019 di sini, semalam.

Katanya, selain itu pencapaian 2019 ialah Perodua menguasai 40 peratus perkongsian pasaran melalui Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 604,775 unit berbanding tahun sebelumnya dan ini diperkukuhkan dengan semua model menjadi pendahulu dalam segmennya termasuk Perodua Aruz sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris dengan jualan lebih 30,000 unit.

Jumlah pengeluaran kenderaan pada 2019 juga meningkat 10.8 peratus iaitu 244,400 unit dan menyasarkan peningkatan empat peratus iaitu 254,000 unit pada 2020 merangkumi jumlah untuk eksport dan simpanan stok bagi 2021.

Khidmat selepas jualan juga menjadi fokus utama Perodua kini berkembang 14.7 peratus dan pengambilan servis ke 186 pusat servis sah Perodua turut meningkat 8.3 peratus iaitu 2.35 juta dicatatkan berbanding 2.17 juta pada 2019.

Selari dengan peningkatan angka jualan, Perodua memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen daripada vendor tempatan berbanding RM5.4 bilion tahun lalu.

Tidak hanya pasaran tempatan, untuk eskport 2019, Bezza menjadi sedan terlaris di bawah 1.0 liter di Sri Lanka dan menembusi pasaran baru di Seychelles.

“Jumlah eksport kami berskala kecil sekitar 2,800 unit setahun di tujuh buah negara dan akan meneruskan usaha membina jenama di peringkat antarabangsa serta meningkatkan angka tersebut untuk 2020,” katanya.

Perodua akan terus bekerjasama dengan pengedarnya yang kini membentuk 75 peratus daripada rangkaian jualan dan servis serta memperuntukkan RM1.06 bilion tahun ini untuk menambah baik ruang pameran, jualan dan servis melalui identiti korporat (CI) yang standard di seluruh negara.

Zainal berkata, Perodua bakal melancarkan model baharu tahun ini untuk mengekalkan momentum jualan dan prestasi dipamerkan sepanjang tahun lalu selain menambah pilihan kepada pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:00 AM