MYVI model Perodua paling laris pada 2021.
MYVI model Perodua paling laris pada 2021.

Kuala Lumpur: Perodua Myvi terus mengungguli jualan keseluruhan kenderaan keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bagi sepanjang 2021, diikuti model Axia dan Bezza.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, jualan kenderaan Perodua bagi 2021 merosot 13.6 peratus berbanding 2020 berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan gangguan bekalan cip semikonduktor dan kejadian banjir yang menggganggu kelancaran operasi pengeluaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan bagi Disember 2021 meningkat 13 peratus kepada 22,940 unit daripada 20,299 unit pada November 2021.

"Kami berterima kasih dengan semua pelanggan yang memberi sokongan dan memahami keadaan yang kami hadapi khususnya mereka yang sabar menanti kenderaan yang sudah ditempah.

"Penghantaran akan dipertingkat pada bulan akan datang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan cip semikonduktor memberi kesan kepada jualan keseluruhan kenderaan Perodua tahun lalu.

"Pendaftaran kenderaan sebanyak 190,291 unit adalah lebih rendah daripada sasaran 200,000 unit yang ditetapkan tahun lalu memandangkan pada 2020 sebanyak 220,154 unit berjaya dijual," katanya.

Katanya, pada Disember lalu, pihaknya menetapkan sasaran 2022 untuk mencapai jualan 240,000 unit namun, ia akan dikaji semula.

"Kami akan kaji semula sasaran berkenaan pada bulan ini dengan mengambil kira situasi keadaan semasa," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, mengenai program Bantuan Banjir Perodua baru-baru ini, beliau berkata, kira-kira 1,675 orang memberi maklum balas dan kenderaan mereka sedang diperiksa di pusat servis Perodua di seluruh negara.

"Keutamaan kami sekarang ialah bekerjasama dengan syarikat insurans serta rakan kongsi kami yang lain untuk mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan kenderaan yang rosak akibat banjir.

"Kami faham bahawa kebanyakan pelanggan kami bergantung kepada kenderaan mereka untuk aktiviti harian mereka dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 8:06 AM