PERODUA Ativa. FOTO Arkib NSTP
PERODUA Ativa. FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Jualan Perodua pada suku pertama 2021 naik 29 peratus kepada 57,911 unit kenderaan berbanding 44,977 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu berikutan pengeluaran meningkat untuk memenuhi permintaan terhadap semua modelnya, terutamanya Perodua Ativa yang baru dilancarkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan syarikat kepada anggaran 24,433 unit, disokong oleh permintaan yang tinggi terutamanya terhadap Ativa, yang menerima 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19 Februari.

"Pendaftaran Perodua melonjak sebanyak 47.3 peratus kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu dengan 67 peratus daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

Ini menjadikan Perodua Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terlaris di negara ini pada Mac.

"Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama," katanya.

Beliau berkata walaupun berdepan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

"Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan sembilan peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 10:10 PM