ATIVA. FOTO arkib NSTP
ATIVA. FOTO arkib NSTP
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) merekodkan jualan kira-kira 20,399 kenderaan pada April, dengan Ativa membentuk 4,624 unit yang dijual.

Prestasi jualan Ativa mengukuhkan jumlah jualan keseluruhan unit kenderaan utiliti sukan (SUV) itu yang baru dilancarkan pada 3 Mac lalu kepada hampir 9,000 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, permintaan terhadap Ativa kekal mantap dengan purata tempahan hampir 290 setiap hari.

"Tempoh menunggu Ativa ketika ini adalah antara dua dan empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang dikehendaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jualan Perodua bagaimanapun merosot 16.5 peratus kepada 20,399 unit daripada 24,431 unit yang direkodkan pada Mac, terutama disebabkan oleh kekurangan bekalan semikonduktor, yang menjejaskan pelbagai industri di peringkat global.

"Bagaimanapun, kami berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April lalu, mendorong pengeluaran tahun ini kepada 80,661 unit.

"Kekurangan cip adalah keutamaan pada masa sekarang dan kami berusaha menangani isu berkenaan dengan semua sumber yang ada seperti bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan perniagaan lain untuk penyelesaian yang berdaya maju," katanya.

Angka jualan April 2021 membawa jualan Perodua kepada 78,304 unit, mewakili peningkatan sebanyak 74 peratus berbanding 45,034 unit yang dijual dalam tempoh empat bulan pertama 2020.

Menurutnya, pihaknya komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka.

"Kami akan bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir Jun ini," katanya.

Zainal berkata, Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit buat masa ini.

"Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan sembilan peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

"Kami juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit dan 2.4 juta pengambilan servis bagi tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:20 PM