Perodua
Perodua
Sri Ayu Kartika Amri


Rawang: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mendaftarkan sebanyak 6,988 kenderaan pada Ogos berbanding 655 unit pada bulan Julai dan peningkatan ini disokong daripada peningkatan produksi serta pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur, sejak 16 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada September ini apabila keadaan kembali normal.

"Semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran Covid-19.

"Setakat ini, Perodua sudah mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5 peratus berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari hingga Ogos tahun lalu.

"Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan juga menambah baik prosedur operasi untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan kami," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan faktor waktu dan sumber sedia ada, pihaknya menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan tahun ini berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, keutamaan Perodua kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini.

"Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes Covid-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor.

"Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

"Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan pembekal untuk mengehadkan sebarang gangguan yang timbul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 11:01 AM