BANGUNAN Bursa Malaysia. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Bursa Malaysia. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperluaskan di seluruh negara mempengaruhi sentimen Bursa Malaysia, mengheret indeks utamanya untuk mengakhiri segi pagi ini dengan lebih rendah.

Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.11 mata kepada 1,574.81 daripada 1,583.92 pada penutupan Isnin.

Indeks utama itu yang dibuka 4.61 mata lebih rendah kepada 1,579.31 pagi ini bergerak antara 1,573.01 dan 1,581.26 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan suasana pasaran adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 928 kepada 157, manakala 348 kaunter tidak berubah, 735 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.36 bilion saham bernilai RM1.53 bilion.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun untuk membendung peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi negara mencatatkan penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penurunan 3.4 peratus pada suku sebelumnya dengan pemulihan dilihat dalam semua sektor ekonomi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021, berdasarkan pemulihan permintaan domestik.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM8.19, Public Bank dan Tenaga turun satu sen masing-masing kepada RM4.09 dan RM9.89, PetChem turun 12 sen kepada RM8.13, dan IHH Healthcare berkurangan tujuh sen kepada RM5.59.

Bagi saham aktif, Pegangus, Focus Dynamics dan AT Systematization masing-masing tidak berubah pada dua sen, lapan sen dan sembilan sen manakala Fintec rendah setengah sen kepada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 82.51 mata kepada 11,533.83, Indeks FBMT 100 – 72.44 mata lebih rendah kepada 11,205.6, Indeks FBM Emas Syariah turun 87.92 mata kepada 12,934.19, FBM ACE susut 126.8 mata kepada 8,011.04 dan FBM 70 merosot 126.96 mata kepada 15,040.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 80.43 mata kepada 14,709.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 2.54 mata kepada 196.62 dan Indeks Perladangan berkurangan 76.93 mata kepada 7,073.2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 3:46 PM